Sepuluh hari yang lepas, saya berkunjung ke Pulau Pinang. Kunjungan ini adalah dalam rangka menyelia pelajar saya yang sedang membuat latihan praktikal di TM Seberang Prai.
Sudah agak lama tak naik ke Penang. Rindu pada nasi kandar, rindu pada ramah mesra orang Penang!
Saya menyelia pelajar pada 14hb Disember 2017. Dan disebabkan rasa rindu untuk melawat kawan lama di USM, saya sambung cuti sehari pada 15hb.
Saya ke USM untuk mencari kawan sekampung yang banyak menolong saya dikala saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Dadah & Ubat-ubatan, USM suatu ketika dulu. Dalam bahasa orang putih, tempat saya bekerja ini dia panggil Center for Drug Research. Masa tu tahun 1990. Saya pernah pinjam motorsikalnya. Saya pernah menumpang di rumahnya.
Saya ke Pusat Dadah dengan harapan ada yang sudi untuk menunjuk jalan dimana dapat saya cari seorang insan yang bernama Maarof Salleh? Tiba di Pusat Dadah, kelihatan staf agak sibuk membungkus dan membahagi nasi lebihan Syarahan Perdana Profesor Sharif. Prof. Sharif adalah staf Pusat Dadah.
Jawapan yang diterima dari pertanyaanku kepada staf bak kata pepatah seperti pahat dengan pemukul. Sekali ketuk sekali bunyi. Yang diberi konsentrasi atau tumpuan oleh mereka ialah mengisi nasi dan ayam masak merah ke dalam plastik untuk dibawa pulang.
Subhanallah! Mana keramahan dan kesantunan orang Penang yang pernah aku kenali dulu? Setidak-tidaknya, adakah ini caranya kita melayan tetamu?
Aku pernah menulis di dalam blog dahulu menceritakan betapa baiknya orang Penang menumpangkan daku dari Minden Height ke dalam USM setiap kali aku balik bercuti dari Kelantan. Bas Transnasional atau SKMK dari Kota Bharu akan berhenti di Gelugor. Kebiasaannya, aku menapak sekejap kemudian mesti ada kereta atau motorsikal yang akan berhenti untuk memberi tumpangan.
Pernah juga aku tulis di dalam blog bahawa kalau di Skudai memang payah orang yang ingin menumpangkan orang ke dalam UTM. Cuba try menapak dari Padang Kawat UTM, ada tak kereta berhenti untuk menumpangkan kamu ke dalam kampus? Hangit rasanya.
Aku juga pernah menulis bahawa yang aku nampak UTM lebih baik dari USM ialah solat zohor berjamaah di masjid atau Pusat Islam masing-masing. Masjid UTM lebih meriah dari Masjid USM.
Sudah hampir 30 tahun yang lalu. Merekakah yang berubah atau aku yang suka bernostalgia?
Orang kata bila kita semakin tua kita suka mengingat cerita lama yang baik-baik atau apa yang Mat Salleh kata The Good Old Days…
Hakikat ini susah untuk aku terima! Kenapa?
Pun begitu, 2 hari sebelum aku ke USM, aku telah meminta seorang kawan karibku untuk mencari nombor telefon Maarof. Dia duduk di Penang dan mantan staf USM pula, aku fikir sudah pasti lebih mudah untuk dia membuat penjejakan.
Malangnya janji untuk mendapatkan maklumat atau nombor telefon tersebut hanya tinggal janji. Senyap tanpa berita. Setelah aku menelefonnya kembali, dia memaklumkan bahawa dia akan bertanya dengan kawannya semula. Kemudian senyap kembali.
Aku give up dengan perangai so called kawan baik ini dan akhirnya aku terpaksa membuat penjejakan secara bersendirian.
Alhamdulillah dengan izin Allah, ketemu juga aku dengan Maarof. Kami berborak panjang di Kafeteria sambil menikmati samosa telor yang dibeli Maarof.
Aku juga sempat mengirimkan salam kepada kakak Maarof, iaitu Datin Norhayati. Aku dan kakaknya pernah berkampung di rumah ustaz sekolah kami iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg. Laut sekitar tahun 1974. Pada ketika itu, Datin di Darjah 6 mewakili sekolah dalam acara musabaqah al-Quran di peringkat zon Daerah Tumpat, manakala aku di Darjah 4 mewakili sekolah dalam acara syarahan.
Aku juga meminta Maarof untuk menyampaikan salamku kepada abang iparnya iaitu suami Datin yang merupakan Prof Datuk Dr Hassan Said, Naib Canselor UiTM.