Makin Lama Sepatutnya Makin Memahami

Kita mula berkeluarga dari di usia muda dan harap-harapnya sampai hingga ke usia tua. Ada sesetengah orang berkahwin ketika berumur 23 tahun. Ada yang lebih awal tetapi ramai juga yang lebih lewat. Cuma ada segelintir yang tak kahwin-kahwin. Usia perkahwinan bermula bukanlah menjadi suatu ukuran kebahagian, kerukunan dan keberkekalan sesebuah keluarga.

Perkahwinan ini pula, ada yang kekal dan ada yang terputus di tengah jalan.

Bagi yang putus di tengah jalan, tak kurang juga yang putus di kala usia sudah lanjut.

Itulah dikatakan rezeki masing-masing. Mereka yang hidupnya damai dari muda hingga ke tua, alhamdulillah! Mereka yang bercerai berai pun alhamdulillah kerana mereka dapat keluar dari penderitaan dan meneruskan kehidupan yang baru.

Pergolakan di usia pertengahan akan membuahkan hasil yang kurang manis. Masing-masing tengah panas dan cuba untuk menang tanpa memikirkan implikasinya. Pada masa inilah dikatakan nafsu lebih berperanan dari akal. Jika tidak ditimbal balik dengan saki baki iman yang ada, sudah pasti ke laut jua pernikahan itu. Mangsanya mungkin anak-anak.

Yang lebih mengharukan ialah penceraian di kala usia senja. Umur sudah lebih separuh abad. Anak-anakpun sudah besar tetapi pergaduhan berlaku kerana masing-masing merasakan dia boleh hidup tanpa pasangannya.

Betul ke boleh hidup tanpa suami atau isteri? Sebelum ini si suamilah yang mengeluarkan semua belanja. Belanja beli barang dapur, belanja bayar bil api dan air, belanja bayar ansuran rumah, belanja bayar ansuran kereta dan bermacam-macam lagi. Dan sekarang ini, anak-anak dah bekerja dan beri duit pada isteri. Terasa independent sikit si isteri.

Si suami pula, betul ke boleh hidup tanpa si isteri? Sedangkan sudah 30 tahun makan hasil masakan si isteri. Masakan isteri rasanya semua sedap. Tak boleh ditandingi! Bawalah masakan dari chef manapun tetapi tekak si suami sudah biasa dengan air tangan isteri. Kopi si isteri lebih terangkat dari Americano Starbucks!

Apapun keadaan, suami isteri sedaya upaya ingin mengekalkan perkahwinan. Malu pada anak-anak, malu pada saudara mara dan malu kepada masyarakat jika penceraian berlaku.

Tiada siapa ingin melihat masjid yang dibina runtuh, hancur berkecai. Tetapi jika semua ikhtiar sudah menemui jalan buntu maka jalan terakhir ialah perpisahan. Suatu urusan yang halal tetapi tidak disukai dalam Islam. Jadikanlah alternatif ini sebagai jalan terakhir yang boleh kita ambil. Happy Familying!