Sijil Profesional Pengurusan Wakaf

Julung-julung kali, MAIJ dengan kerjasama UTM dan UTHM akan melaksanakan kursus atau program pengajian jangka pendek iaitu selama 6 bulan bagi memartabatkan agenda wakaf di persada negara. Program ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak UTM SPACE.

Tenaga pengajar dari dalam dan luar negara akan mengisi tajuk-tajuk yang berkaitan dengan isu wakaf. Pelajar-pelajar juga mungkin berkesempatan untuk membuat lawatan ke negara-negara yang telah terkedepan dalam bidang ini.

Perbincangan untuk mengadakan Sijil Profesional Pengurusan Wakaf di Majlis Agama Islam Johor telah berjalan sebanyak 2 kali. Kali pertama ia dibentangkan kepada CEO Majlis Agama Islam Johor pada 24 Januari 2018. Manakala kali kedua ialah pada 11 Februari 2018, jam 8 pagi.

Perbincangan dilakukan bersama Penasihat Agama Negeri Johor Dato’ Hj Noh Gadot; Mufti Johor, Sahibus Samahah Dato’ Hj M. Tahrir bin Dato’ Kiyai Hj Samsudin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Tn. Hj Abdul ‘Alim Abd. Shukor dan Pegawai Agama MAIJ.

Langkah seterusnya ialah perbincangan dengan pihak SUK Johor bagi membincangkan potensi untuk mereka menaja pegawai-pegawai kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk mengikuti kursus ini. Perbincangan juga termasuk tentang value added sijil yang dikeluarkan ini kepada para peserta dalam usaha untuk kenaikan pangkat dan sebagainya.

Apabila selesai di peringkat SUK nanti, kertas kerja ini pula akan diangkat kepada Tuanku Sultan Johor untuk mohon perkenan.

Didoakan semoga hasrat murni ini dipermudahkan dan diperoleh kelulusan dan seterusnya diganjari Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran kepada semua yang terlibat, InsyaAllah. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.