Meraikan Kejayaan KUTMB Bersama Staf

Sesekali lapangkan masa dan minda dengan memenuhi undangan staf Koperasi Universiti Teknologi Malaysia Berhad (KUTMB). Mereka menjemput Ahli Lembaga Koperasi (ALK) untuk turut sama meraikan kejayaan mereka.

KUTMB meraih kejayaan mendapat RM1000 dari Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) kerana melaksanakan perbankan secara online tanpa buku cek.

Seronok melihat mereka gembira bersama ahli keluarga masing-masing setelah saban hari mendapat teguran, menahan telinga dari cemuhan dan herdikan daripada sesetengah ahli koperasi. Alhamdulillah mereka tetap sabar.

Biasalah manusia… mempunyai perangai dan gelagat yang berlainan. Ada mereka yang akur aje dengan keputusan yang dibuat oleh ALK dan pihak pentadbir KUTMB. Sebaliknya pula, ada yang tidak berpuashati dan marah-marah.

Tidak boleh marah kepada ALK, mereka marah kepada staf KUTMB. Biasalah manusia mencari luang dan peluang untuk menghukum orang!

Pihak ALK sedaya upaya berusaha memikirkan bagaimana cara kita mahu tingkatkan keuntungan kepada KUTMB dan memberikan pulangan yang lumayan kepada ahli. Saya pasti tiada siapa yang duduk dalam ALK tanpa memberikan komitmen dan berfikir untuk meningkatkan prestasi.

Sebagai ahli koperasi seharusnya kita sedar apakah tujuan sebenar sesebuah koperasi itu ditubuhkan? Pada saya ia lebih kepada prinsip taawun, yakni ingin tolong menolong sesama ahli. Keuntungan dalam bentuk wang itu bukanlah sesuatu yang wajib tetapi amat dialu-alukan jika ia berlaku.

Kesabaran amat penting dalam apa jua lapangan. Oleh sebab itu, Rasulullah menyarankan supaya kita banyak bersabar. Kalau masa berdiri kita marah maka disuruh kita duduk. Masa duduk kita juga masih marah maka disuruhnya baring dan seterusnya.

Betapa indahnya Islam yang cuba menjaga keharmonian sesebuah masyarakat. Dan inilah yang susah untuk dilaksana dan dipraktikkan, dan yang pasti tidak semua orang mampu mengawal sifat marah mereka, termasuklah diri saya.

Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga KUTMB terus berfungsi untuk menjaga kebajikan ahli disamping dapat memberikan sedikit pulangan keuntungan kepada mereka yang menjadi ahlinya.

Inilah kali pertama saya dilantik sebagai ALK dan saya berdoa dan berharap agar keberadaan saya bersama-sama di kalangan ALK-ALK yang lain dapat meningkatkan prestasi KUTMB yang kita semua sayangi ke martabat yang lebih baik, insyaAllah.

BANTULAH KAMI UNTUK MEMBANTU ANDA!