Setiap Perjumpaan Ada Perpisahannya…

Malam tadi 18 Mac 2018, sekitar jam 8 malam, kami berkumpul untuk meraikan majlis perpisahan dengan naqib kami iaitu Ustaz Ahmad Puaad. Majlis ini diadakan di rumahku.

Setiap kami, sekurang-kurangnya bersama isteri dan jika masih ada anak-anak di rumah maka dibawanya sekali. Inilah julung-julung kali diadakan perjumpaan bersama keluarga dalam usrah kami.

Ustaz Fuaad akan mengangkat barang-barang ke Kuantan pada hari Sabtu yang akan datang iaitu pada 24hb. Mac. Ustaz Fuaad memilih untuk bersara di Kuantan setelah sekian lama berkhidmat di Johor. Beliau berasal dari Kedah Darul Aman.

Aku dari awal lagi memohon cuti pada hari Ahad, 18hb. Mac. Tujuannya ialah di awal pagi, aku akan pergi membeli barang-barang keperluan memasak di Pasar Tani Taman Sri Pulai. Aku membeli sebelah dada kambing dan 4 ekor ayam. Pulang dari Pasar Tani, aku terus memasak kari kambing. Aku masukkan daun kari, tomato plum, kentang, sedikit halia bagi menghilangkan bau dan yang paling penting ialah daun ketumbar. Bagi aku daun ketumbar yang akan membangkitkan rasa kari kambing.

Isteriku sibuk memeram (marinate) ayam untuk digoreng berempah.

Selepas asar aku memulakan persiapan untuk membuat salad mentah atau orang Johor memanggilnya jelatah iaitu carrot, lectuce, cucumber dan tomato dipotong dan digaul dengan sedikit garam dan perahan air lemon.

Aku juga memasak nasi beras basmati bagi memberi kawan-kawan makan. Walaupun hanya nasi putih tetapi aura beras basmati sudah pasti menaikkan selera untuk sahabat-sahabat makan lebih dari biasa.

Alhamdulillah, semua dari kami hadir kecuali akhi Mazlan Othman yang berada di luar negara.

Selepas acara santapan, kami masing-masing membuat ucapan kepada Ustaz Fuaad dan memohon berbanyak-banyak kemaafan di atas segala kekhilafan yang sudah pasti ada di antara kami dengan Naqib yang dikasihi. Ustaz Fuaad tidak lupa berpesan kepada kami supaya terus tsabat di jalan dakwah hingga ke akhir hayat.

Bolehlah aku nukilkan di sini bahawa betapa mulianya hati Tuan Haji Mazlan Othman yang menghantar pesanan ringkas kepadaku secara peribadi untuk menanggung segala kos majlis ini keseluruhannya walaupun beliau sendiri tidak dapat hadir. Walau apapun niat di hatinya, Allah sudahpun memberikannya pahala.

Ya Allah, Engkau tautkanlah hati-hati kami supaya sentiasa berkasih sayang kerana Mu, Engkau panjangkan usia kami dalam ketaatan kepada Mu ya Allah, Engkau hidup dan matikan kami di dalam kalimah Laa ila ha illallah, Muhammadur Rasulullah. Engkau peliharalah hati-hati kami supaya tidak futur dalam dakwah Mu. Engkau kuatkan semangat kami supaya sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam. Akhirnya, Engkau masukkan semua kami ini ya Allah ke dalam syurga Mu….Ya Allah ya Rabbal ‘Alamin.