Sejak beberapa minggu lalu, kami di Perjiranan 11, Bandar Dato Onn, Johor Bahru menghadapi masalah surat tidak sampai ke rumah kami. Tak pasti apa puncanya. Adakah posman mogok? Adakah posman dibuang kerja? Adakah posman membuang semua surat-surat kami dan tidak menghantarnya? Berbagai-bagai persoalan timbul tetapi yang pasti tiada siapa yang tahu punca sebenarnya.
Saya sebenarnya tidak ambil pusing pasal perkara ini pada awalnya tetapi setelah surat panggilan mesyuarat saya tidak sampai maka saya merasa hairan. Sebelum ini tidak pernah terjadi.
Panggilan Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) saban tahun saya terima tetapi pada kali ini sampai sekarang saya masih belum menerima surat tersebut. Mesyuaratnya diadakan di Dewan Masjid Ar-Rahman, Taman Putri, Kulai pada 17 Mac yang lalu. Walaupun tanpa surat saya tetap hadir kerana telah ditugaskan sebagai penyambut tetamu.
Pada saya, perkara seperti ini tidak wajar berlaku. Orang membayar setem bagi perkhidmatan yang diberi. Amanah yang dipikul perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Sebelum ini banyak juga komplain orang ramai tentang perkhidmatan pos. Ada yang menggunakan pos laju untuk mempercepatkan kiriman surat tetapi masa sampainya surat atau parcel itu tidak juga cepat.
Jiran berbangsa Tiong Hua bernama Tang Ah Huat menunjukkan suratnya yang diposkan pada 27hb Februari, hari ini (20hb Mac) baru sampai. Manakala Yin Wong pula menunjukkan surat yang dicop pada setem 7hb Februari juga diterima pada hari ini.
Ramai yang risau kerana kebanyakan bil yang mereka terima sudah overdue. Dan sudah pasti, setiap pemiliknya akan dikenakan caj kerana lewat bayar.
Pada siapa harus kita persalahkan?
Dulu kita pernah dengar, posmen tidak menghantar surat-surat yang sepatutnya mereka hantar tetapi dibuangnya ke dalam semak. Ada juga kita dengar posmen membuka surat-surat yang dikirim di bilik rumah sewanya.
Semua pekerjaan memerlukan sikap kebertanggungjawaban atau mat salleh kata accountability, barulah semuanya beres. Ia dilihat sebagai suatu amanah yang perlu kita lakukan (deliver).
Tugas tetap tugas dan tidak boleh dibuat secara sambil lewa. Even tugas sebagai cleaner atau tukang sapupun perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Pembersihan yang tidak sempurna akan membawa penyakit. Akhirnya, semua orang akan dijangkiti penyakit dan terus jatuh sakit…