Innalillahi wainna ilaihiraaji’un. Tanggal 24 Mac 2018, kekandaku Wan Mohd Ghazali Hj Wan Ismail pergi mengadap Allah Azza Wajalla jam 7.10 petang. Arwah adalah abangku yang kedua dari bapa dan ibu yang sama. Umur arwah adalah lebih 70 tahun.
Allahyarham abang Mad telah berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) selama 11 hari akibat dari kebocoran usus. Operation telah dibuat tetapi arwah tidak sedarkan diri setelah selesai operation dan bergantung kepada life support machine.
Walau apapun, Alhamdulillah jenazah abang Mad terus dikebumikan pada malam itu juga. Hanya 4 jam dari masa kematian.
Memang kita dianjurkan menyegerakan pengkebumian tetapi tiada pula dalil yang menyatakan jika kita dikebumi awal menandakan kebaikan untuk mayat atau roh kita atau sebaliknya.
Cuma kita disarankan mempercepatkan proses penanaman mayat supaya si mati cepat mendapat balasannya. Kalau baik amalannya maka cepatlah dia mendapat balasan kebaikannya, insyaAllah.
Allahummagh firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu.
Ya Allah ampunilah dosanya, rahmati dia & selamatkanlah rohnya. Sesungguhnya Engkaulah yang amat Pengampun lagi maha Mengasihani.
Sedikit perihal saya dan arwah abang Mad. Sepanjang ingatan saya, arwah sangat sayang kepada saya. Semasa beliau mengajar di sekolah di Terengganu, beliau membawa kakak saya Wan Azizah dan saya tinggal bersamanya.
Beliau juga kerap membawa saya ke rumah nenek mertuanya semasa saya masih kecil dan tidur di sana. Bekas isterinya dulu tinggal bersama neneknya. Cuma, kadang-kadang apabila saya terjaga di malam hari, saya menangis dan ingin pulang ke rumah ayahanda dan bonda saya.
Sekiranya arwah ada berhutang dengan sesiapa, bolehlah membuat tuntutan dengan saya atau ahli keluarganya.
Akhir sekali, tiada lain yang saya harapkan kecuali anak-anak arwah mendoakan kesejahteraan bapa mereka, dijauhi segala azab, baik azab kubur mahupun azab yang seterus-seterusnya.
Inilah kehidupan kita yang sebenar-benarnya. Ia hanya baru bermula.
Aku juga mengiklankan pembelian van sekolah untuk Sekolah Menengah Islam Hidayah jika ada anak-anak arwah abang Mad ingin menginfaqkan sedikit wang dengan niat pahala untuk ayahanda mereka. Nama dan nombor akaun bank jelas tertera.