Setiap 5 tahun PRU datang. Hari ini YAB Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa esok Parlimen dibubarkan. Maka akan bermulalah peperangan sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk PRU ke 14.
Semalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dibubarkan untuk sementara oleh ROS (Registry of Societies Malaysia) atau dalam bahasa melayunya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kerana ada sedikit isu teknikal.
Tiga kesalahan itu ialah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti. Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, berkata Armada tidak sah dan tidak diiktiraf kerana ia jelas melanggar dan bertentangan dengan perlembagaan parti itu sendiri.
Fair enough. Sebagai parti baru, banyak perkara yang tidak sempat untuk diselesaikan dengan sebaik mungkin mengikut kehendak ROS.
Cumanya, kalau kita bercakap pula tentang UMNO, ada orang mengatakan bahawa UMNO pun sepatutnya dibubarkan kerana tidak mengadakan pemilihan di pelbagai peringkat.
“JIKA Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengguna pakai standard yang sama terhadap Umno seperti dilakukannya kepada Bersatu, parti komponen paling dominan dalam Barisan Nasional (BN) itu sepatutnya diisytiharkan sebagai parti haram menjelang 19 April, kata peguam Dr Mahathir Mohamad.
Haniff Khatri Abdulla berkata RoS sepatutnya menggunakan penguatkuasaan yang saksama terhadap semua parti politik untuk mengadakan mesyuarat mengikut masa ditetapkan, seperti disyaratkan oleh perlembagaan mereka.”
Pada saya, kita bukan hanya perlu nampak berlaku adil tetapi kita sepatutnya melaksanakan keadilan itu sendiri. Begitu lama, kita menggunakan pelbagai slogan bagi menaikkan prestasi akauntabiliti pentadbiran kerajaan kita. Antaranya, Bersih, Cekap & Amanah; Kepimpinan Melalui Teladan dan bermacam-macam lagi.
Kita juga selalu dengar sabda Rasulullah SAW bahawa, “Jika Fatimah itu mencuri maka akan ku potong tangannya.” Seorang bapa yang begitu menyayangi anaknya sanggup melakukan hukuman ke atas anaknya demi menegakkan keadilan. Pengadilan tidak mengira darjat! Tidak membezakan antara yang berharta dengan yang tidak!
Pada saya lagi, jika kita tidak mampu mengikut semua ajaran Islam, janganlah pula kita tinggalkan semua. Seboleh-bolehnya kita berusaha tahap demi tahap untuk menuruti semua sunnah Rasulullah SAW.
Kemudian yang seterusnya ialah bertandinglah secara ‘gentleman’. Kalau kita berlawan ‘boxing’ maka gunalah peraturan ‘boxing’ sewajarnya. Jangan kita ikat tangan lawan manakala kita pula boleh memukul pihak lawan semahu-mahunya. Kalau kita berlawan main bola, jangan kita asyik berikan ‘foul’ kepada pihak lawan manakala kita bebas curi ayam, belasah pihak lawan tanpa had dan tak dapat pula kad merah dan sebagainya.
Masyarakat memerhati dan berfikr dengan waras!
Dulu tiada WhatsApp, Telegram, Instagram, dan lain-lain maka oklah, kita boleh sorok kebobrokan kita. Tetapi sekarang tidak boleh lagi. Maklumat di hujung jari.
Masyarakat juga makin cerdik! Berapa ramai yang masih buta huruf? Boleh bilang jari sekarang.
Dalam Wawasan 2020 ada 9 cabaran. Salah satunya kita menyatakan bahawa kita ingin menjadikan rakyat Malaysia matang dalam berpolitik. Adakah kita berpolitik secara matang sekarang? Atau kita masih membalon pihak lawan tanpa belas ihsan. Tanpa diberi peluang di media massa perdana untuk mereka menjawab segala pertuduhan yang kita lontarkan kepada mereka.
Kita masih berpolitik secara kampungan. Kita serang pihak lawan secara besar-besaran dalam TV, Radio dan Surat khabar tetapi mereka kita tidak berikan peluang untuk menjawab atau menafikan segala berita dan tohmahan.
2 tahun lagi tahun 2020. Tetapi Wawasan 2020 masih jauh dari berjaya!