Makmum Sebelah Bersolat Subuh Tanpa Bersugi…

Tiada kegembiraan yang dapat dinukilkan oleh seorang bapa apabila anaknya telah tamat pengajian di peringkat menara gading. Apatah lagi jika perbelanjaan pengajian si anak itu ditanggung oleh si bapa. Si anak mendapat ijazah manakala si bapa terlepas beban tanggungjawab menanggung saraan anaknya di kampus.

Kegembiraan ini akan bertambah-tambah setelah anak-anaknya berkahwin dan dia mendapat cucu. Cucu begitu seronok bagi seorang datuk kerana ia hanya berkonsepkan ‘touch and go’. Maksudnya datuk hanya pegang dan layan cucu semasa bersama sahaja. Sekiranya cucu menangis, sakit atau demam maka tanggungjawab itu berada di tangan kedua ibubapanya. Datuk dan nenek boleh lepas tangan.

Begitu juga asuhan dan bimbingan cucu-cucu tadi terletak hak dibawah kedua ibubapa mereka. Jangan pula si datuk atau nenek cuba untuk mengajar anak-anak mereka macamana hendak mendidik anak pula. Biar mereka uruskan sendiri.

Pinjam kata-kata dari filem Indonesia, “Rasain!”

Dulu kita suruh itu, suruh ini, larang itu, larang ini, marah itu, marah ini hanyalah untuk melihat engkau berjaya menjadi manusia yang mengabdikan diri pada Allah. Sekarang ini, giliran kamu pula membentuk anak-anak kamu mengikut ajaran Allah dan Rasul.

Kita tahu ia tidak mudah. Berapa kali kita tergenang air mata lantaran tingkahlaku anak-anak. Tetapi doa “Rabbana Hablana Min Ajwajina Wazurriatina….” ila akhir ayat tetap dan sentiasa kita pohon pada Allah setiap waktu selepas solat.

Apabila anak-anakku berkahwin dan mempunyai anak-anak sendiri nanti, ia seumpama kita masuk solat subuh berjamaah yang mana makmum di sebelah kita nampak cantik berjubah pakaiannya maka lantas kita mengangkat takbir di sebelahnya. Setelah dia membuka mulut untuk membaca surah al-fatihah maka kitapun sesak nafas kerana dia tidak menggosok gigi. Apatah lagi jika si makmum tadi membaca dengan kuat maka kebusukan mulutnya itu menjadikan kita terseksa. Nak berhenti tak boleh! Maka kita ternanti-nanti bilalah nak habis solat berjamaah 2 rakaat ni…

Seperti kata lagu ‘Hotel California’, ‘you can check out but you can never leave’, itulah proses mendidik anak-anak.

Oleh itu, sebagai persediaan pertama dalam membina sebuah keluarga maka pilihlah bakal ibu yang akan melahirkan anak-anakmu. Pilihlah yang baik Islam dan pekertinya berbanding dengan kekayaan hartanya, kecantikan rupa parasnya dan keturunannya…