Pada tahun ini (2018) suasana qurban di Masjid Sultan Iskandar (MSI), Bandar Dato Onn (BDO), Johor Bahru nampak sungguh meriah. Sudah 3 tahun berturut-turut, MSI melaksanakan program ibadah qurban sejak pembukaannya 4 tahun yang lalu. Aku sempat turut membantu menjadi sukarelawan pada tahun 2016 dan 2018.
Sebanyak lebih 20 ekor lembu dan lebih 30 ekor kambing telah dibuat qurban di masjid ini. Ada yang kata 21 ekor lembu dan 35 ekor kambing tetapi yang pasti bilangannya melebihi 50 ekor kambing dan lembu.
Pada saya sistem proses penyembelihan, pelapahan, penimbangan dan sebagainya adalah yang terbaik setakat ini. Sungguhpun lebih 50 ekor lembu dan kambing yang dikorbankan tetapi semua siap sekitar jam 12.15 tengahari sejak dimulakan pada jam 8 pagi. Begitu kemas sekali.
Nampak keteraturan proses yang dijalankan. Lembu dijatuhkan, disembelih, dipotong 4 tanpa lapah, dibawa ke tempat pelapahan dan pemotongan daging dengan 4 wheels drive ke sebelah sana masjid.
Kemudian 4 bahagian tadi digantung untuk dilapah dan dipotong dagingnya. Tulang-tulang pula dibawa ke bahagian lain untuk dipotong kecil. Ada tulang yang dipotong dengan mesin dan ada juga yang dipotong manual dengan kapak.
Semua bakul untuk tulang, daging, organ dalaman di’tag’ dengan nombor lembu dan kambing berkenaan. Kambing tidak menjadi masalah sangat kerana seekor adalah satu bahagian berbanding dengan lembu yang mempunyai 7 bahagian. Walaupun begitu nombor kambing tersebut adalah penting untuk menunjukkan pemunya qurban.
Semua nampak teratur, balang air minuman yang mempunyai beberapa perisa seperti teh O ais, sirap selasih, air jagung berada di kiri dan kanan masjid. Maksudnya di sebelah padang penyembelihan ada air minuman dan di sebelah pemotongan daging dan penimbangan juga ada air minuman tersebut. Kuih muih seperti karipap dan nasi lemak memang tersedia untuk dibuat sarapan sebelum memulakan tugas.
Khidmat mengasah pisau juga disediakan. Seorang ahli kariah hanya bertugas untuk mengasah pisau ahli-ahli sukarelawan dan sukarelawati yang mudah tumpul akibat kerap digunakan untuk melapah dan memotong daging. Pada saya tugas ini agak mencabar kerana hanya dia seorang sahaja yang melakukan pengasahan pisau. Dia diletakkan di depan khemah-khemah melapah dan memotong daging. Disediakan sebuah kerusi, batu asah dipaku erat di atas sebatang kayu dan di kedua-dua belahnya terdapat dua besen, satu berisi air biasa dan satu lagi berisi air sabun. Pisau-pisau yang belum diasah diletakkan di dalam besen air biasa dan setelah diasah dibilas di dalam besen air sabun. Hmm, sungguh sempoi sekali.
Cuma pada kali ini, masyarakat Islam dari negara luar seperti Bangladesh, Indonesia dan lain-lain kurang kelihatan kerana program qurban ini dilakukan pada hari bekerja iaitu pada hari raya kedua.
Yang bagusnya ialah masyarakat kita akan bekerja kuat kerana tiada pertolongan dari warga asing. Dengan yang demikian, kita akan lebih mengenali dan menyapa sesama kita dan mudah-mudahan ukhuwah Islamiah akan terjalin erat.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama doakan baik kepada mereka yang berkorban, pihak pengurusan, pihak sukarelawan dan sesiapa jua yang membantu dan yang menginfaq supaya usaha mereka di hari ini diganjari Allah SWT dengan sebaik-baik ganjaran. Moga-moga ia menjadi sebahagian dari amal soleh kita di yaumul mahsyar kelak InsyaAllah.