Sudah pasti kita lahir ke dunia ini dari pelbagai golongan; golongan berada, golongan pertengahan dan golongan miskin. Aku tak pasti samaada aku termasuk golongan pertengahan atau golongan miskin.
Yang aku ingat semasa di Darjah Satu (1971), aku membawa duit 10 sen ke sekolah. Lima sen untuk nasi dan lima sen untuk air. Aku ke sekolahpun, lebih banyak berjalan kaki di landasan keretapi dari menaiki basikal dari Palekbang ke Kg. Laut.
Begitulah kita membesar, dari Sekolah Rendah ke Sekolah Menengah, dari Sekolah Menengah ke Universiti, dari Universiti ke Alam Pekerjaan dan akhirnya dari alam pekerjaan ke alam barzakh. Dan di Syurga atau Neraka lah yang menjadi tempat pengakhiran kita buat selama-lamanya. Ya Allah masukkan daku ke dalam syurgaMu! Aamiin!
Seingat aku, semasa aku kecil dulu tidaklah jahat sangat. Aku pergi mengaji al-Quran dengan nenek aku dan kemudiannya dengan ibuku. Selalu juga solat berjamaah kerana surau datukku hanya di sebelah rumah. Berpuasa dan bersolat taraweh seperti budak-budak yang lain dan yang paling aku suka ialah semasa jamuan moreh. Pelbagai juadah digilirkan setiap malam di madrasah atau kami panggil balaisah. Ada mee goreng, mee sup, mee hoon, rojak, tepung malas dan sebagainya.
Semasa di peringkat menengah rendah, aku tinggal di Kota Bharu bersama kakak. Masa ni, rasanya aku sungguh rajin ke surau untuk solat maghrib, isya dan subuh di surau berdekatan dengan net bas Wakaf Siku.
Bila ke Sekolah Menengah kita mula mempunyai citarasa yang agak tinggi, kasut nak jenis clarks walaupun dari Siam. Kirim kasut clarks sepasang kat kawan yang tinggal di Rantau Panjang untuk membelinya di Golok. RM30 rasanya. Habis duit biasiswa sebulan, aku dapat biasiswa RM25 sebulan. Di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, aku bukanlah kaki surau tetapi solat tidak pernah aku cuai.
Setelah itu, aku ke California. Di Azusa kami adalah first batch. Lebih kurang 15 lelaki dan 15 perempuan. Solat Jumaat tetap kami kerjakan walaupun bilangannya tidak cukup 40 orang. Aku rasa lebih rapat dengan brother tabligh berbanding dengan kumpulan lain. Brother Dr Judin selalu datang dari University of Southern California (USC) ke Azusa. Selalu juga dia bawa kami keluar.
Dari California aku ke Arizona di Flagstaff. Aku tinggal di masjid Flagstaf. Di sini ada halaqah mingguan dengan pak-pak Arab. Ayam halal kita dapatkan bekalan dari bandar Tucson. Sering juga bekalan ayam habis. Apabila selesai halaqah dengan pak Arab, terhidang dua dulang nasi arab dengan seekor ayam di tengah-tengah setiap dulang.
Bila aku tanya imam, “Where did you get this chicken from?” Sebab aku tahu ayam di dalam freezer masjid sudah habis. “Don’t ask ya akhie, bismillah and eat”, jawab imam yang datang dari Arab Saudi. Beliau sedang membuat PhDnya di Northern Arizona University.
Kemudian aku pindah ke University of Southwestern Louisiana. Aku rasa di sini kehidupan aku agak lagha. Aku duduk bersama kawan kaki masjid. Kemudian aku berpindah pula duduk dengan 2 orang kawan yang lain pula.
Kawan aku yang seorang ni, selalu juga bawa teman wanitanya ke rumah. Tetapi aku tak kuat iman untuk melarangnya.
Akhirnya setelah tamat pengajian, pasangan ini balik ke Malaysia dan berkahwin dengan jodoh masing-masing. Yang lelaki berubah menjadi manusia yang alim, hidup senang dengan bisnesnya dan sempat menjadi imam di surau taman perumahannya sebelum dia dijemput Ilahi setahun yang lalu. Yang perempuan pula sudah bertudung dan nampak menjadi seorang isteri yang solehah bersama suami dan anak-anaknya.
Roomate aku yang so-called kaki masjid, selalu berusrah dan kuat agama sebaliknya bila pulang ke Malaysia menjadi seorang anggota polis. Puluhan tahun yang lalu, aku terserempak dengannya di Hotel Perdana Kota Bharu. Aku lihat cara pemakaian isterinya sudah tidak seperti isteri seorang kaki usrah.
Jadi mungkin profesionnya dapat melentur (atau dalam bahasa kasarnya brain washed) dia dari menjadi seorang mukmin sejati kepada seorang manusia biasa. Menjadi anggota pasukan berunifom beginilah risikonya. Aku sendiri sempat memakai pangkat Mejar di Rejimen Askar Wataniah.
Aku kemudiannya menyambung pelajaran di Kansas State University. Di sini orang melayu tidak ramai. Yang ada rata-ratanya yang membuat master seperti aku dan juga yang membuat PhD. Melayu yang aku kenali di sini, ada yang baik dan tinggal di masjid manakala yang ekstrim pula ialah yang buat segalanya. Just name it, semua dia buat.
Semasa di USA, yang paling aku ingat ialah aku pernah ke Ijtima’ Sedunia Jamaah Tabligh di Orange County, California. Aku begitu kagum dengan seorang pensyarah melayu UPM yang boleh menyampaikan bayan di dalam bahasa arab kepada ribuan hadirin yang hadir.
Pemergian aku ke England mula menjadikan aku seorang yang mempunyai jamaah yang sebenar. Aku dirapati dan disantuni begitu mesra sekali sehingga aku mencebur diri ke dalam jamaah Majlis Syura Muslimin (MSM). Ramai yang mendampingi kita dan terasa begitu seronoknya hidup berjamaah. Rehlah bersama, usrah, summer outdoor camp, winter gathering dan sebagainya dilakukan semata-mata kerana Allah.
Banyak kerja-kerja amal yang aku lakukan di sini. Menjadi AJK masjid, memasak nasi dan lauk pauk bila ada keramaian, menyelia vending machine masjid dan sebagainya.
Kemudian populasi melayu kian berkurang dan silih berganti.
Yang paling menyedihkan ialah apabila mereka yang bersama jamaah di UK dulu, apabila pulang ke Malaysia mereka sudah tidak bersama jamaah lagi. Merekalah yang memukat kita dahulu tetapi akhirnya mereka sudah hilang dari kehidupan da’ie dan hidup seperti orang lain yang tiada jamaah.
Inilah hakikat kehidupan, mereka datang dan pergi. Cuma doa kita kepada mereka supaya mereka sentiasa istiqamah bersama Islam insyaAllah.
Sempena Tahun Hijrah baru 1440H, aku berdoa dan berazam agar Allah menetapkan daku di jalanNya sehingga akhir hayatku. Ya Muqalibal qulub….tsabbit qalbi ala deenik.