Bahasa Jiwa Bangsa. Itulah yang kita dengar sejak di bangku sekolah. Kita diajar untuk berbudi bahasa dengan ibubapa, guru, orang tua dan masyarakat keseluruhannya.
Begitu juga Islam mengajar kita supaya taat kepada Allah, Rasul dan pemimpin dari kalangan kita. Kita boleh menegur pemimpin tetapi mesti ada cara. Membuat teguran secara berhikmah…
Cuma sejak kita mempunyai kemudahan menulis di media sosial, kita jarang menjaga bahasa. Banyak bahasa-bahasa kasar kita keluarkan tanpa mengendahkan bahawa kita ini berpangkat anak ke, kenalan baru ke, atau sebagainya. Apa yang penting hati kita puas merobek jiwa dan hati mereka yang tak sealiran dengan kita? Boleh ke begitu?
Kepada mereka yang tidak belajar tinggi mungkin kita tidak ralat sangat tetapi kepada graduan universiti, saya rasa kita sewajarnya menjaga tatabahasa kita. Para guru kita tidak pernah mengajar kita untuk berkata-kata sedemikian. Apatah lagi kita yang berada di belah Timur. Sewajarnya kesopanan dan kesusilaan dijaga sepertimana yang dituntut dalam Rukunegara.
Sekiranya ibubapa kita terbaca ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya dibicarakan, rasa malu mereka! Tidak pernah mereka mendidik kita sebegitu. Sejahat-jahat ayah atau ibu, tidak mahu mereka melihat anak-anak mereka turut jahat, bahkan dihantar kita ke sekolah-sekolah yang terbaik yang mampu mereka tanggung.
Semalam saya sempat bersembang dengan seorang rakan apabila kami balik dari KL. Beliau menceritakan tentang duit konsultasi yang ingin dipotong bernilai beratus-ratus ribu oleh sebuah badan. Tetapi beliau tidak ‘confront’ dengan pihak tersebut dengan kata-kata kesat atau kasar sebaliknya menceritakan haknya terhadap duit tersebut.
Apa yang saya rasa terharu ialah konklusi yang dibuat oleh kawan saya tersebut. “Kita mungkin menceritakan hak-hak kita terhadap duit tersebut manakala pihak yang satu lagi pula memikirkan hak-haknya juga. Jadi tiada satu ‘bridging gap’ yang boleh menerangkan tentang hak bagi kedua-dua pihak. Oleh itu, kita seharusnya tidak hanya menekankan hak-hak kita semata-mata tetapi mencuba untuk memahamkannya disamping kita juga cuba memahami tuntutannya. Maka, persengketaan tidak harus wujud tetapi konsep masing-masing cuba memahami diantara satu sama lain dan insyaAllah ia boleh diselesaikan.” Ia merupakan suatu pandangan yang cukup bernas bagi saya.
Akhir sekali, saya menasihat diri saya, anak-anak, saudara-mara dan masyarakat keseluruhannya supaya menjaga kata-kata dan adab-adab bermuamalah kita. Kadang-kadang kata-kata lebih tajam dari pedang… bila terguris walaupun sembuh tetapi parut tetap ada!