Anugerah Jasa Bakti

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga Anugerah Jasa Bakti setelah hampir 23 tahun menabur jasa di UTM, bermula 16 Disember 1995. Sebelum ini, aku berkhidmat di Universiti Sains Malaysia di Pusat Dadah dan Ubat-Ubatan (Center for Drug Research), Pulau Pinang. Sebelum itu lagi, aku mengajar di Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah, Kelantan.

Milestone di UTM agak mencabar juga walaupun tugas Pentadbiran yang telah aku lakukan tidak begitu banyak. Aku hanya sempat menjadi Penyelaras Kursus Jabatan Pentadbiran dan Pembangunan Tanah sebanyak 2 kali iaitu dari tahun 1998 hingga 2000, dan dari tahun 2001 hingga 2003.

Aku banyak menjalankan tugas Pentadbiran Kolej sebagai Pengetua di 3 buah Kolej di UTM iaitu di Kolej Siswa Desa Skudai (KSDS), di Kolej 12 dan di Kolej 16 & 17. KSDS sekarang ini mungkin telah menjadi tempat penumpangan para jin kerana ia kelihatan kosong dan tak berpenghuni lagi. Kolej 12 pula telah dicantumkan dengan Kolej 13 dan dikenali sebagai Kolej Datin Seri Endon, sempena nama mantan isteri Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kolej 16 & 17 pula telah diberi nama baru iaitu Kolej Dato Onn Jaafar (KDOJ).

Aku berkhidmat sebagai Pengetua di bawah 3 TNC HEP; TNC Prof Dato Mansor, TNC Prof Kamal dan TNC Prof Dato Alias.

Semasa aku menjadi Felo, aku sempat berkhidmat di bawah TNC HEP Prof. Md. Yusof dan Tan Sri Prof Zulkifli.

Terima kasih UTM kerana terasa juga diri ini dihargai walaupun tanggagaji masih di takuk 52. Pun begitu, aku bersyukur kepada Allah kerana impian aku untuk memakai pangkat Mejar di dalam Kor Rejimen Askar Wataniah dan mendapat jawatan Pensyarah Kanan dalam UTM tercapai.

Tiada apa lagi yang ingin aku kejarkan, tidak Profesor Madya dan tidak juga jawatan Profesor. Cukuplah apa yang ada dan aku ingin meraih pahala amal baktiku untuk akhirat. Masa semakin singkat dan amalan masih berkurangan. Solat tahajud kadang-kadang buat dan kadang-kadang tidak, begitu juga bacaan al-Quran yang masih belum dibaca secara konsisten. Ya Allah, istiqamahkan diriku untuk mengabdikan diri kepada Mu.

Aku doakan dengan masa yang berbaki 5 tahun di UTM ini semoga diberikan Allah kepadaku kesihatan yang berpanjangan dan sentiasa dalam limpah rahmat Nya, insyaAllah. Sekiranya aku dipanggil pergi menemui Mu, datangkan daku dalam sebaik-baik kedatangan kepada Mu ya Allah. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.