Sebidang Tanah Bendang, Setahun Yuran Persekolahan…

Setiap hujung tahun merupakan masa-masa yang agak sukar bagiku. Ia berlanjutan sehingga ke awal tahun berikutnya. Masa inilah permintaan terhadap yuran-yuran sekolah perlu dipenuhi. Yuran pendaftaran, yuran bulanan, yuran PIBG, dan segala jenis yuran-yuran lain yang perlu dibayar sebelum bermulanya sesi persekolan tahun 2019.

Di awal tahun pula, cukai-cukai yang perlu dilunaskan. Cukai tanah, cukai pintu, cukai pendapatan dan sebagainya. Termasuk juga duit pinjaman Qardhul Hasan yang aku cetuskan idea untuk tabungan anak cucu kepada Arwah Haji Wan Ismail & Allahyarhamah Hajjah Che Zainab. Sekurang-kurangnya apabila terdesak mereka boleh meminjam wang tanpa bunga (interest) dari tabung ini.

Aku telah berjanji kepada 9 orang anak-anakku bahawa abah akan menanggung sesi pembelajaran mereka dari tadika sehinggalah ke Ijazah Sarjana Muda walaupun terpaksa bergadai bergolok. Itu tanggungjawab aku sebagai ayah. Kalau hendak belajar lagi ke peringkat master dan phd maka itu adalah tanggungjawab mereka sendiri.

Tanah bendang pusaka aku jual pada minggu lepas untuk membayar yuran sekolah anak-anak. Aku jual tanah ini kepada anak saudara dengan nilai RM19,500.

Sawah padi amat dekat di hatiku kerana pengajian phd aku adalah berkaitan dengannya. Aku mengkaji tentang kecenderungan pesawah-pesawah di MADA atau lebih spesifik di Alor Setar untuk menukar syarat gunatanah dari pertanian kepada bangunan…demi meraih keuntungan berlipat ganda.

Namun dengan polisi atau dasar yang ada di peringkat persekutuan seperti Dasar Perbandaran Negara, Rancangan Fizikal Negara, dan disusuli dengan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan di peringkat negeri serta semangat petani yang utuh untuk mengekalkan tanah sawah maka masih luas terbentang sawah padi di bumi Kedah dan Perlis. Tetapi ini cerita di MADA. Di 7 lagi Jelapang Padi, nasibnya mungkin tak sama!

Yuran SRIH Wan Asmaa Solehah untuk 2019 telah aku sempurnakan keseluruhannya berjumlah RM5,762.

Yuran SMIH Wan Sakinah berjumlah RM6,868 dan yuran SMIH Wan Abdullah Syakir RM6,888 juga selesai aku bayar tadi.

Habis duit jualan sebidang tanah padi, aku laburkan untuk yuran pembelajaran setahun anak-anak di Sekolah Islam Hidayah!

Untuk tahun-tahun yang akan datang, kita lihat lagi dimana rezeki Allah yang dapat aku korbankan.

Didoakan pengajian mereka yang masih di sekolah ini diberkati Allah dan dapat menyambung ke peringkat universiti InsyaAllah dan seterusnya mereka berjaya di dunia dan di akhirat. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.

Speak Your Mind

*