Buat Apa Yang Orang Nak Lihat Dengan Cepat…

Belum sampai setahun lagi peralihan kuasa pemerintahan di Malaysia namun rakyat agak ghairah untuk melihat perubahan ketara.

Pihak musuh begitu rancak memainkan rakaman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak apabila berkuasa. Tak kurang juga yang memuatnaik ucapan Lim Guan Eng untuk memansuhkan tol. Rakyat dihasut supaya melihat apa yang dibuat oleh kerajaan baru tiada apa-apa perubahan.

Dasar-dasar remeh dicanangkan seperti pemakaian kasut hitam ke sekolah dan seumpamanya. Sogokan berita seperti ini secara berjadual atau berkala akan merangsang minda pendengar dan sedikit demi sedikit akan melekat di kepala dan inginkan pertukaran semula kepada kerajaan lama.

Mereka dialih dari mendengar berita secara perspektif sebaliknya memanjangkan usaha untuk melaga-lagakan antara kaum. Melayu dengan India dan Melayu dengan Cina.

Tidak cukup setakat itu malah isu perbezaan agama digembar-gemburkan. Cina dimomokkan sebagai agen untuk mendoktrinasikan kristian kepada masyarakat Melayu. Habis kenapa Melayu berdiam diri tidak menyampaikan Islam kepada mereka yang belum Islam? Dimana usaha kita untuk berdakwah?

Sekiranya ia tidak ditangani secara baik, isu perkauman dan isu keagamaan akan meledakkan suatu pergaduhan dan mengkucar-kacirkan negara.

Pada hemat saya, kerajaan baru seharusnya menerbitkan akhbar baru yang boleh memberikan berita-berita yang sahih, adil dan saksama. Pergantungan kepada media sediaada untuk melapurkan berita tanpa prejudis hanya sekadar impian. Mereka masih mempunyai tuan-tuan yang mengagendakan liputan berita yang ingin disiarkan.

Bidang komunikasi dan siaraya sangat penting. Kita perlu mendominasi bidang ini. Disamping itu, peluang-peluang pekerjaan akan dijana dan memberi impak pekerjaan kepada masyarakat.

TV dan radio juga perlu diperbanyakkan rancangan tentang kesedaran sivik dan hubungan baik antara kaum. Kempen-kempen kesedaran kearah menghormati orang tua, menyayangi golongan muda, menjaga kebersihan, menjauhi gejala rasuah, meningkatkan rasa kebertanggungjawapan kepada nusa dan bangsa seharusnya dimantapkan lagi.

Program-program hiburan yang banyak perlu diadunjalin dengan program-program yang membina keperibadian dan minda.

Kadang-kadang program baik yang dibuat tetapi tidak disebarluaskan melalui media massa akan tenggelam dek propaganda yang begitu mudah dihantar melalui SMS, Telegram, Twitter dan WhatsApp.

Masyarakat begitu mudah menerima berita-berita yang belum tentu sahih tetapi mudah sampai kepada mereka. Kita membuka WhatsApp dan seumpamanya berpuluh-puluh kali sehari.

Kerajaan baru sewajarnya membuat perancangan yang ingin dicapai secara jangkamasa pendek, sederhana dan panjang. Buat masa ini, banyakkan program-program yang membuahkan hasil untuk jangkamasa pendek dan sederhana. Masyarakat ingin melihat yang ini. Mereka ingin melihat hasil mereka mengundi Pakatan Harapan (PH).

Isu PTPTN seharusnya dicanang secara positif. Sungguhpun kita masih mewajibkan mereka membayar secara beransur-ansur tetapi kita tidak menyekat mereka untuk keluar negara untuk mengerjakan umrah dan sebagainya.

Apabila kita menandatangani perjanjian maka ia dikira sebagai suatu akad pinjaman yang wajib ditunaikan. Pinjaman wajib dilunaskan untuk memberi peluang kepada orang lain pula untuk membuat pinjaman. Sebaiknya pinjaman yang diberikan tiada kadar keuntungan yang dikenakan, sebaliknya mungkin hanya sekadar 1% bagi tujuan pengurusan.

Langkah-langkah yang boleh memberikan keyakinan kepada masyarakat ialah dengan kerajaan menurunkan kadar tol di seluruh negara walaupun sedikit. Buat masa sekarang dengan kadar hutang yang banyak, kita hanya mampu membuat penambahbaikan secara berdikit. Masyarakat ingin melihat ini!

Harga minyak juga seharusnya diturunkan sedikit walaupun hanya 5 atau 10 sen. Nampakkan perubahan walaupun keberjayaan kita untuk menetapkan harga RON95 pada kadar RM2.20 selama 7 bulan sudah cukup baik.

Harga barangan yang meningkat naik secara mendadak juga mungkin akan terbantut dengan penurunan harga minyak dan tol.

Pegerai-pegerai dan penjual barangan yang masih mengekalkan harga yang murah wajar diberi liputan media massa yang tinggi. Mereka memilih untuk mendapat keberkatan dan tidak hanya keuntungan semata-mata. Saya tertarik dengan konsep penjual ABC di Kampung Melayu Majidee. ABC dijual dengan harga RM3 tetapi ‘volume’ mereka yang datang membeli adalah teramat ramai.