‘Aunt’ Kembali Ke Rahmatullah

Suasana kematian, solat jenazah dan pengkebumian kekanda Wan Hasniyah Wan Ismail pada 6 Januari 2019 (Ahad) di Hospital Tumpat, Madrasah Hj. Nik Man dan Tanah Perkuburan Islam Palekbang.

Kekanda atau dikenali sebagai ‘aunt’ oleh anak-anak saudara meninggal dunia di Hospital Tumpat sekitar jam 9.54am. Beliau adalah kakak di atas aku. Kami berbeza umur 8 tahun. ‘Aunt’ dimasukkan ke Hospital Tumpat sejak 30hb. Disember 2018 lagi.

Lebih kurang sebulan sebelum itu, ‘aunt’ telah menjalani pembedahan kanser di perutnya di hospital yang sama. Doktor mencadangkan supaya dibuat ‘chemo’ selepas pembedahan tetapi keluarga di kampung merasa kesian kepada ‘aunt’ kerana ‘aunt’ hanya tinggal tulang dan kulit sahaja. Tiada isi kerana dia tak lalu makan. Aku yang tinggal berjauhan ini hanya akur dengan segala keputusan yang dibuat.

Pada awalnya, aku merancang untuk bergerak ke Hospital Tumpat pada jam 9 pagi dari Pengkalan Chepa. Aku, Ma, Kak Ngah dan Asmaa tiba di Pengkalan Chepa pukul 3 pagi dari Johor Bahru. Kami bertolak pukul 3.30 petang semalam dari JB.

Mungkin kerana mengantuk kami turun dari rumah untuk ke hospital sekitar jam 10am. Sebelum bergerak, aku sekali lagi membaca whatsApp, takut-takut ada berita terkini. Subhanallah, memang ada berita terkini! Kak Cik, kakak ku yang seorang lagi memaklumkan bahawa ‘aunt’ telah kembali ke rahmatullah.

Aku memandu ke Hospital Tumpat. Tiba di sana, kami menuju ke Rumah Mayat (Jabatan Forensik). Jenazah belum lagi dibawa ke sana dan masih berada di wad. Kami bergerak pula ke wad.

Agak lama juga sebelum jenazah dibawa ke Rumah Mayat. Kami memutuskan supaya proses pemandian dan pengafanan dibuat di hospital. Selesai nanti terus dibawa ke madrasah untuk solat jenazah dan terus ke kubur untuk pengkebumian. Kos memandikan serta mengafankan di hospital ialah RM700.

Setelah dimandi dan dikafankan di Hospital Tumpat, jenazah dibawa ke Madrasah Hj. Nik Man untuk disolatkan. Selesai solat zohor di madrasah, jamaah turut sama menyembahyangkan jenazah. Solat jenazah diimamkan oleh Ustaz Muhammad Mustafa.

Kemudian jenazah dibawa ke kubur dan dikebumikan. Kos penggalian kubur ialah RM250. Alhamdulillah, semuanya selesai, lebih kurang jam 2.30 petang.

Allahummagh firlaha warhamha wa’aafihaa wa’fuanha…

Engkau tempatkanlah rohnya ya Allah bersama-sama para solehin. Aamiin ya Rabbal’Alamin.

Pagi tadi, agak risau juga saya kerana keadaan agak mendung dan gerimis. Macamana urusan penggalian kubur, pengkebumian dan segalanya nanti?

Tetapi Allah Maha Berkuasa dan Maha Adil terhadap arwah kakak saya yang OKU. Sebaik sahaja ingin dikebumikan cuaca mendung bertukar cerah dan ceria, walhamdulillah.