Tidak Pernah Tertinggal Dengan Imam Sebegitu Jauh…

Malam tadi seperti kebiasaannya saya ke Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn untuk menunaikan solat Isya berjamaah. Alhamdulillah, saya sempat berada di saf hadapan sekali. Saf yang selalu disebut-sebut oleh para ustaz bahawa manusia akan bergaduh sesama mereka untuk mendapat saf ini jika mereka mengetahui besarnya pahala/fadilat berada di saf hadapan.

Seperti biasa sebelum saya meluru ke saf hadapan, saya akan bersolat 2 rakaat tahiyatul masjid. Kemudian saya akan bersalam salaman dengan rakan-rakan saya yang pencen di sudut belakang masjid. Walaupun mereka telah berusia 60 – 70 tahun tetapi mereka begitu konsisten menunaikan solat di masjid. Mereka juga menjadi sukarelawan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn.

Setelah imam mengangkat takbiratul ihram, semua makmum mengikutinya. Saya mengikuti Imam Bak yang membaca surah Al-Fatihah dan disusuli dengan surah Al Bayyinah, “Lam ya kunillazi na kafaru min ahlil kitab….”.

Kemudian suaranya ghaib hilang dari pendengaran saya… Seterusnya saya terdengar, Imam Bak berkata, “Allahu Akbar” dan menuju ke bawah untuk sujud!

Subhanallah, saya tertidur sambil berdiri rupanya…

Peristiwa seumpama ini tidak pernah berlaku tetapi mungkin hari semalam ‘was a hectic day for me.’

Pagi semalam, ‘it started with’ saya menyemak 4 orang pelajar SPACE yang nak bergraduan. Tengok satu-satu data yang ada, Matematik kredit atau tak, Bahasa Melayupun sama, MUET, jumlah kredit dapat, jumlah kredit ‘transfer’ dan sebagainya.

Selesai membuat semakan tersebut, saya berlari ke Pusat Islam UTM kerana ada Mesyuarat PKA (Persatuan Kakitangan Akademik) pada pukul 10 pagi tetapi saya tiba pukul 10.30 pagi.

Pukul 2 petang, ada mesyuarat markah peperiksaan Jabatan Harta Tanah pula di Bilik Mesyuarat Mawar. Saya tidak menunggu hingga ke akhir mesyuarat ini kerana pada pukul 5.15 petang, saya ada mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) pula. Saya adalah sebagai Timbalan Pengerusi PIBG SMIH.

Saya tiba tepat pada masanya di SMIH. Pengerusi PIBG meminta saya memulakan dahulu mesyuarat kerana beliau masih dalam perjalanan dari Pengerang.

Kami bermesyuarat sehingga ke maghrib dan saya sempat menunaikan solat maghrib berjamaah bersama pelajar-pelajar Hidayah di musolla.

Selesai solat, saya pulang ke rumah untuk mendapatkan makan malam (dinner). Selesai makan, saya ke masjid.

Satu lagi peristiwa yang saya tidak dapat lupai sebelum ini ialah semasa saya tertidur semasa bersolat taraweh di Muslim Welfare House of Sheffield. Semua orang berdiri menunggu imam menghabiskan bacaan surahnya yang agak panjang.

Saya sambil mata yang tertutup merasakan seperti ingin terjatuh ke depan. Secara automatik saya terangkat kedua-dua belah tangan untuk mengimbangi ‘balance’ badan dari terjatuh. Saya seperti terperasan, makmum di sebelah seperti ingin menepis tangan saya dari terkena muka mereka.

Peristiwa ini saya masih ingat lagi sampai sekarang. Dan kadang-kadang saya ketawa bersendirian apabila mengenangkannya.

Speak Your Mind

*