“Malu Apa Bossku” Itulah tagline yang suka digunapakai dewasa ini. Saya rasa tagline ini agak bagus digunakan jika kita mempunyai boss yang tak suka diketengahkan maka kita bertindak sebagai agen perangsang supaya dia semakin berani untuk kedepan.
Sebaliknya pula jika seseorang yang masih disiasat diatas kesalahannya seperti terjumpa berjuta-juta ringgit di rumahnya dan beberapa insiden lain maka saya rasa seseorang itu perlu merasa malu diatas perbuatannya. Apatah lagi jika dia pembesar negara!
Bukan apa, saya takut kita akan hilang jati diri dan pertimbangan untuk membezakan yang mana putih dan yang mana hitam? Akhirnya yang putih kelihatan menjadi hitam dan yang hitam pula kelihatan menjadi putih.
Sekiranya ada seorang perogol bersiri dan kita menyokongnya kerana mungkin dia saudara kita. Kitapun menjaja ke sana sini, “Malu Apa Bossku”… walhal dia sudah menodai ramai perempuan-perempuan yang ada. Bolehkah begitu?
Atau sekiranya ada seorang pembunuh tersohor yang kita dokong dek kerana sudah diasimilasi dengan doktrinnya maka kita laungkan lagi, “Malu Apa Bossku”… Sesuaikah begini?
Mana neraca kita, mana pendirian kita? Memang benar setiap manusia itu ‘innocent until proven guilty’. Tetapi biarlah mahkamah yang membicarakannya. Jangan kita pula pandai-pandai menyokong mereka seolah-olah dia suci bersih dan tiada kesalahan serta tidak perlu rasa malu.
Kita asuh anak-anak dari peringkat kecil sehingga ke peringkat dewasa supaya tahu malu!
Malu itu sebahagian dari Iman. Kalau kita sudah hilang malu maka kita akan perbuat apa saja yang kita suka walaupun ia bertentangan dengan norma kehidupan sejagat.
Orang yang membawa pulang sebatang pensil pejabat ke rumahnyapun wajar dia merasa malu. Apatah lagi jika dia membawa pulang yang lebih dari itu.
Janganlah nanti perompak dan penyamun harta negara disanjung mulia; perogol dan pembunuh bersiri dimartabatkan sebagai wira negara.
Ajari golongan muda yang bakal menerajui negara bahawa kita mempunyai neraca yang betul. Yang berjasa disanjung mulia dan yang kurang berjasa dipimpin bersama…untuk dinasihati dan diperbaiki.