Hanya nak ‘share’ dengan kawan-kawan betapa bertuahnya aku… Kena banyak bersyukur kepadaMu, ya Rabb! Peristiwa ini berlaku pada 18 dan 19 Mei, 2019.
Aku berbuka puasa di Rasa Village, Food Court dekat Mydin Amanjaya, Perak. Aku beli nasi kandar berlaukkan telor sotong, telor rebus dan sayur bendi goreng. RM10.50 harganya. Nasib baik aku beli dulu, dalam 40 minit sebelum berbuka, ‘queue’ panjang…. ramai juga penggemar nasi kandar di bulan puasa rupanya.
Aku sebenarnya dah fikir panjang, nak makan nasi kandar ke, nak makan Subway ke atau nak makan Merrybrown? ‘Last-last’, nasi kandar juga menjadi pilihan. Sebenarnya aku risau makan nasi kandar takut-takut nak buang air dalam bas kerana rempahnya agak panas.
Selesai berbuka, aku naik ke tingkat 1 untuk solat maghrib dan isya secara jamak qasar. Alhamdulillah tak berapa ramai lagi di surau. Setelah aku selesai solat, tu dia… orang beratur nak ambil wudhu’. Keadaan semakin penuh sepertimana penuhnya ‘food court’ tadi.
Kemudian aku bergerak ke Terminal Bas Amanjaya. Bas lambat lagi, jam 10.30 malam tapi persediaan badan perlu dibuat. Aku ke ‘toilet’, buang mana yang patut!
Jam 10.30pm aku naik bas KKKL dari Ipoh ke JB. Bas tak penuh tapi ‘good numbers’ untuk syarikat bas mendapat untung.
Dalam hati aku berdoa, “Ya Allah, janganlah Engkau berikan aku sakit perut semasa di dalam bas ini.” Aku terus lelap kerana kepenatan.
Dalam pukul 2 pagi, ‘driver’ bas berteriak, “Sesiapa nak bersahur boleh turun!”
Aku turun di R & R Serdang dan meminta roti bakar dan telor ayam kampung separuh masak. Itulah sahurku.
Kalau di rumahpun, itu juga sahurnya. Kadang-kadang ‘nugget’, ‘chips’, ‘burger’ dan lain-lain yang agak ringan. Sejak aku berkahwin, itulah sahurku dan anak-anak.
Kalau dulu semasa bersama kedua ibubapa dan juga di rumah mertua memang makan nasi. Rasa berselera pula. Tetapi kalau di rumah sendiri boleh dikatakan amat jarang kami anak beranak makan nasi untuk sahur kecuali mungkin jika ada nasi lebihan berbuka puasa.
Selesai sahur aku ke ‘toilet’ lagi, teramat takut jika rasa nak membuang air dalam bas. Di dalam ‘toilet’ aku begitu cepat dan tangkas sekali kerana takut ditinggalkan bas.
Aku terfikir-fikir, sempat ke aku solat subuh nanti. Kadang-kadang ‘driver’ ni, dia ikut kepala dia aje… Nak berhenti dia berhenti kalau tidak dia terus aje.
Bas yang aku naiki menghantar penumpang lain ke Batu Pahat, Air Hitam dan baru ke Johor Bahru.
Aku menguatkan diri bertanya kepada ‘driver’, dimana kita akan menunaikan solat subuh? Lantas dia menjawab, kita akan sampai di Larkin jam 6.30am dan sempat solat di sana.
Sampai di Larkin, aku terus menuju ke Masjid di aras 3 dan sempat menunaikan solat sunat subuh dan solat subuh. Kemudian terus bergerak ke kereta yang mana Kak Long dan ibunya menungguku.
Tiba-tiba, perut hadapan sebelah kananku terasa sakit. Aku menahan kesakitan sepanjang perjalanan pulang ke BDO.
Sampai ke rumah, aku terus mandi dan cuba untuk membuang air. Kedua-duanya tak mahu keluar, air kecil mahupun air besar. Perut semakin sakit.
Kak Long dan isteriku mempelawa untuk membawaku ke hospital bahagian kecemasan. Dengan sakit yang begitu teruk, aku akur. Kami ke HSI, lebih kurang jam 7.30am. ‘First time’ aku ke HSI, selalunya ke HSAJB.
Ramai juga orang di Unit Kecemasan. Darah dan air kencingku diambil.
Aku menunggu doktor untuk memanggil nomborku, iaitu 1066. Terasa lama sekali. Kanak-kanak yang bising di sekitar tempat menunggu menambahkan lagi rasa kesakitanku. Hmm, kalau ada ‘ear pluck’, alangkah nyamannya.
Akhirnya sekitar pukul 10.30am, nomborku dipanggil. Analisis doktor dari darah dan air kencingku, ia adalah batu karang. Aku diberi satu ‘jab of pain killer’ di punggung untuk meredakan kesakitan.
Berbekalkan ubat antibiotik, ‘pain killer’ dan ‘sachet’ air minuman akupun pulang. Aku berbuka berpuasa pada hari ini.
Subhanallah, cuba bayangkan kalaulah insiden tersebut berlaku semasa aku dalam bas. Apa yang dapat aku lakukan? Aku cukup-cukup bersyukur kepada Mu, ya Allah. Engkau menguji aku di kala aku mudah untuk mendapat bantuan. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!