Berpuasa, Berbuka & Bertarawikh Di Ipoh

Tahun ini aku terpaksa menginap di Ipoh agak lama. Bermula dengan viva pelajar master pada 26 Mei, jaga exam pada 27 Mei dan 29 Mei. Kebiasaannya seperti tahun-tahun sebelum ini, aku akan mengambil cuti untuk mencari lailatul qadr di malam 10 yang terakhir. Apakan daya, apabila tugas meminta…

Aku bergerak ke Ipoh selepas solat sunat tarawikh di Surau Perjiranan 11 pada hari Jumaat, 24 Mei. Hendak bertolak pada siang 25 Mei takut mengantuk dan takut tak dapat tarawikh pada malamnya.

Aku sudahpun menempah Hotel Cititel di Ipoh. Lokasi yang terbaik kerana berdekatan dengan masjid walaupun Masjid India Muslim.

Aku membawa bersama isteri, Asmaa, Syakir dan ‘Ammar supaya seminggu di Ipoh tidaklah terlalu sunyi.

Kami bertarawikh dan menunaikan solat subuh di Masjid India Muslim. Ia sungguh selesa kerana hanya walking distance dari hotel.

Bagi tujuan iftar atau berbuka puasa, aku mencari makanan di kawasan stadium. Sungguh ramai orang berniaga di sana dengan bermacam-macam juadah. Semua ada… pecal, nasi beriani, tepung pelita, strawberries, air mangga, akok, nasi goreng, nasi kerabu dan bermacam-macam lagi.

Pada suatu malam, anak-anak meminta untuk aku tunjukkan perhiasan kecantikan lampu-lampu di sepanjang Sungai Kinta selepas aje kami solat tarawikh di Masjid India Muslim Ipoh tadi.

Banyak pokok-pokok lampu yang dibuat dengan pelbagai warna di hadapan Hotel Kinta Riverfront.

Cuma sayang seribu kali sayang, kebanyakan pokok-pokok itu sudah tidak bernyala dan ada sesetengahnya bernyala secara malap. Ada yang menyala 3, 4 biji mentol aje. Mungkin tiada penyelenggaraan.

Kebetulan ada satu famili cina datang kepada saya dan menanyakan dimana pokok-pokok lampu di Kinta River seperti tertera dalam gambar handphonenya. Saya kata di sinilah dia…

Kedai-kedai di sepanjang sungaipun hanya satu yang beroperasi iaitu Kedai Barber & Comber. Nampak agak meriah kedai ini, ramai pelanggannya.

Kedai-kedai lain tutup atau memang ia ditutup sebelah malam? Dulu macam-macam kedai ada termasuklah kedai menjual burger.

Saya membawa juga anak-anak menaiki jambatan yang merupakan replika Golden Gate Bridge di San Francisco.

Pada hemat saya, kedai-kedai di sepanjang sungai ini mungkin akan segar kembali jika pokok-pokok lampu mula menyinari semula. Dan termasuklah kedai yang menyewakan basikal dan beca.

Dewan Bandaraya Ipoh mungkin boleh melihat perkara ini.