Jamuan Raya FABU

Jamuan raya Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dibuat julung-julung kali pada 20hb Jun 2019. Sebenarnya, ia dirancang untuk dibuat pada 13hb Jun tetapi ramai yang menyarankan bahawa kita baru saja balik dari beraya di kampung dan tak sempat untuk bermesyuarat dan menyusun strategi. Aku akur aje.

Pengarah program telah aku berikan kepada Timbalan Pendaftar, En. Abd. Jalil Maulani. Semua keputusan yang dibuatnya aku akur aje. Aku tidak mahu mengganggu perancangan beliau dengan krew-krewnya.

Apa yang penting bagi aku adalah seekor lembu dapat dikorbankan.

Kalau ikutkan cadangan asal aku, aku mahu sembelih sendiri lembu itu. Lembu dihantar sehari sebelumnya, pada malamnya ada shift untuk jaga lembu di fakulti supaya tidak hilang. Kemudian seawal pagi pukul 8am, kita staf lelaki semua menjatuhkan lembu, menyembelih, melapah, memotong daging dan tulang lembu tersebut. Akhirnya, kita sama-sama memasak.

Staf perempuan pula memotong bawang, kentang, daun sup, carrot, timun, lada, tomato, tembikai dan sebagainya.

Walaupun ia tidak 100% mengikut apa yang aku rencanakan tetapi aku kira ia masih gred A. Tak pastilah pula berapa yang dibayar untuk upah tukang masak. Tengok-tengok ada 4-5 orang juga mereka. Harap-harapnya taklah sampai RM3-4 ribu. Mungkin Pengarah Program hendak play safe, takut-takut tak ada orang yang nak ke depan jadi anchor man sebagai chef.

Tetapi at least ada satu menu yang dimasak oleh staf FABU iaitu rendang daging yang dimasak oleh Pn. Rosmah. Lebih kurang 20kg daging juga yang dimasaknya.

InsyaAllah next time, semua menu staf kita yang masak. Itu harapan saya.

Memanglah kalau nak semua sedap dan semua settled, kita cater aje… Tetapi dimana team workingnya, gotong royongnya, berat sama dipikul ringan sama dijinjing dan bagai lagi!

Pada aku, tak berapa sedap tak apa sebab kita ada room for improvement. Lagipun kita kita aje yang nak makanpun. Bukan nak dijual. Tahun ni tak berapa sedap, insyaAllah tahun depan kita improve dan jadi bestlah dia…

Apa yang penting ialah kerjasama!

Dari segi kutipan wang untuk menyara program ini alhamdulillah. Aku amat bersyukur kepada Allah SWT yang memurahkan hati penderma. Prof Emiratus Dato’ Dr Abdul Majid dengan rendah hati menghulurkan bantuan RM5,000. Prof Dato’ Nazri juga sponsor seekor kambing golek. Begitu juga dengan PM Dr Maimunah Sapri yang mewakili CRES juga sponsor seekor kambing golek. Ramai lagi penderma-penderma yang tidak sempat untuk aku nyatakan di sini satu per satu. Hanya Allah sahajalah yang akan membalas jasa kalian.

Aku selaku Pengerusi Badan Kebajikan Fakulti Alam Bina dan Ukur (AKRAB) mengucapkan jutaan terima kasih, jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang menjayakan program ini terutama mereka yang menyumbang, termasuk penyumbang wang ringgit, tenaga, masa, idea dan sebagainya. Didoakan juga semoga Allah SWT membalas setiap jasa kalian dengan ganjaran yang setimpal, insyaAllah. Tanpa sumbangan dan sokongan kalian, program ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.