Dua, tiga hari yang lepas iaitu pada Jumaat, 28hb. Jun 2019, aku membeli sebuah van Hyundai untuk Sekolah Menengah Islam Hidayah secara tunai. Sebuah van berjenama Grand Starex Executive bernilai RM148,450.00. Harga ini diperoleh setelah mendapat diskaun sebanyak RM9 ribu.
Banyak tahun wang dikumpulkan sebanyak itu. Ada yang derma RM50, ada RM1,000 dan ada juga yang infaq RM5,000. Rasanya hampir 7 tahun kalau tak sampai 10 tahunpun proses pengutipan wang yang dijalankan.
Wang ini juga ditampung sedikit sebanyak hasil dari projek Kelas Tuisyen yang dilaksanakan oleh pihak PIBG SMIH. Bila mendapat sedikit keuntungan akan dimasukkan sebagai sumbangan kepada Tabung Pembelian Van. Sedikit sedikit, lama lama menjadi bukit.
Kalau tak silap saya semasa Dr. Mohd Zin Kandar lagi menjadi Pengerusi PIBG SMIH, Projek Pembelian Van ini dimulakan, kemudian Tn. Hj. Alias Mohd menjadi Pengerusi. Kemudian, Ir. Hj. Hisham Miran pula dan sekarang saya pula menanggung amanah pengerusi PIBG SMIH. Walhamdulillah ditakdirkan Allah semasa saya, duit untuk membeli van mencukupi.
Puas kita survey sana sini tetapi banyak pula kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Pengelola Hidayah sebelum kami dapat membeli van ini. Ia mestilah automatic transmission, bukan jenama dari China, kapasiti penumpang 12 orang dan sebagainya.
Kita tahu dan sedar tentang syarat-syarat ini adalah supaya duit infaq orang ramai digunakan sebaik mungkin dan ianya adalah value for money.
Kegunaan van ini sangat banyak. Kalau di peringkat SMIH adalah seperti untuk ke Pertandingan Debat, Pertandingan Memanah, mukhayyam dan sebagainya. Sebagai adik beradik, SRIH juga akan dapat menggunakannya mengikut keperluan penggunaan masing-masing.
Apapun, harus diingatkan bahawa van ini adalah amanah duit infaq orang ramai, bila dibawa ke mana-mana maka berhati-hatilah. Ia tidak mudah untuk mengutip wang sebanyak itu dan ia seharusnya dijagai sepertimana kita menjagai kereta kita sendiri.
Selamat Maju Jaya Hidayah!
Ikhlas,
Dr. Hj. Wan Ibrisam Fikry Hj Wan Ismail
Pengerusi PIBG SMIH 2019-2020