Pada 14 Ogos yang lepas, aku mendapat berita mak sepupuku telah meninggal dunia. Makcik Jah adalah sepupu kepada arwah ibuku. Arwah ibuku pergi menemui Ilahi pada tahun 1995 di usia 72 tahun. Manakala arwah Mak Jah menemui Penciptanya di usia 84 tahun.
Sehari kemudian, kawan satu sekolahku, Che Hasnan di Kuantan juga pergi menemui Allah kerana kanser usus.
19 Ogos 2019, lebih kurang 3.45 petang, anak usrah isteriku meninggal dunia. Alhamdulillah, isteriku sempat menziarahinya pada waktu tengahari di hospital sebelum allahyarhamah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pada malamnya kami pergi solat jenazah di Masjid Ar-Rahman di Taman Dahlia.
Kelmarin 20 Ogos, isteri kawanku, Tn. Hj. Zainal di Kemaman meninggal dunia pada jam 11.30pm. Aku mengenali Hj. Zainal ketika sama-sama menuntut di University of Louisiana dulu.
Hari ini, Pak Long Segamat, rakan satu jamaahku juga telah pergi menemui Allah SWT. Beliau pergi di usia 69 tahun.
Dalam masa seminggu, 5 orang yang ada kaitan dengan aku pergi dahulu…. mendahului aku mengadap Allah SWT. Ya Allah, panjangkanlah usiaku dalam ketaatan kepadaMu. Sembuhkanlah segala penyakit yang ada pada diriku.
Ya Allah, aku takut menghadapi hari-hari akhiratku. Aku belum bersedia dengan amalan-amalan soleh. Aku masih jahil, jahil dalam agamaMu. Aku masih belum berjaya memberi didikan dan bekalan dengan ilmu-ilmu akhirat kepada isteri dan anak-anakku.
Sesungguhnya berita kematian demi kematian begitu menginsafi diri ini. Kita tidak akan selalu mendengar berita kematian orang lain sehinggalah saat kematian juga mendatangi kita. Allahu… Ya Allah, Dikau matikanlah daku dalam sebaik-baik kematian.