Hari Kemerdekaan – Apa Peranan Kita?

Sampai ke saat ini, saya nampak tidak banyak rumah yang mengibar Jalur Gemilang. Ini saya dapati di kawasan kediaman saya di Perjiranan 11, Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

Begitu juga di kenderaan-kenderaan. Kata orang, boleh kira jarilah siapa yang pasang bendera dan siapa yang tak pasang.

Apa maksudnya? Adakah kita sudah tidak menyayangi Malaysia lagi? Adakah kita tak kisah dengan mengibar bendera sebagai tanda memperingati Hari Kemerdekaan? Mungkin ini bukan budaya kita untuk berbuat demikian? Atau mungkin kita sudah tidak peduli tentang Jalur Gemilang tetapi Hari Kemerdekaan masih tetap di hati?

Apapun alasan dan ulasan, sesuatu tindakan itu terbit dari hati nurani yang tulus.

Pada saya, pengorbanan datuk nenek moyang kita terdahulu amat besar ke arah kita mencapai kemerdekaan. Ulama-ulama kita ramai terkorban melawan penjajah. Tok Kenali, Abdul Rahman Limbung dan lain-lain melawan penjajah British. Antara isu yang dimarahi mereka adalah disebabkan pengenaan cukai kepada penduduk.

Kemerdekaan kita telah berlalu selama 62 tahun.

Isu terbaru adalah ada segelintir masyarakat memasang Jalur Gemilang secara terbalik. Adakah dibuat secara sengaja atau tersalah pasang?

Kedengaran juga yang memasangnya adalah orang Bangla maka mereka tidak tahu yang mana di atas dan yang mana di bawah? Apapun sebabnya, kita seharusnya membetulkan keadaan. Jangan kita hanya mengambil kesempatan untuk mem’viral’kan supaya ramai lagi merasa marah atau turut sama mempersendakannya.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab seharusnya mengibar Jalur Gemilang demi merayakan hari kemerdekaan kita. Budaya mengibar bendera ini seharusnya menjadi perkara utama terutama kepada mereka yang berpangkat besar dalam kerajaan. Masyarakat lain boleh juga merayakannya tetapi tidak perlulah berlebih-lebihan kerana wang ringgit untuk membeli bendera itu mungkin diperlukan untuk membeli barangan yang lebih penting. Harga barangan sekarang semakin mahal dan kadang-kadang merasakan seperti tidak masuk akal.

Apapun, pandai-pandailah merayakan secara berhemah!

UTM Open Day