Hari ini kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-62. Marilah kita sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan suasana. Kibarlah di rumah kita atau di kenderaan kita.
Suasana aman, makmur, tenteram dan sejahtera ini dapat kita kecapi apabila kesemua bangsa dalam negara kita hidup secara harmoni, saling hormat menghormati. Namun, ada segelintir masyarakat sedang giat mengadu domba supaya setiap kaum memusuhi kaum yang lain. Mereka ingin kita berperang sesama kita, orang Malaysia! Apakah kita sanggup untuk membunuh sesama manusia demi memenuhi kehendak mereka?
Amat rugilah kita jika berlaku perang saudara di Malaysia. Seburuk-buruk negara kita tetapi masih mendominasi sebagai negara Islam terbaik di dunia. Banyak negara-negara Arab yang merasa ‘jealous’ dengan negara kita. Apabila kita ke Mekah atau Madinah, ramai pekedai-pekedai di sana menyebut, “Malaysia Bagus!”.
Tidak mudah untuk mentadbir negara yang mempunyai pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kerajaan terpaksa sedikit sebanyak menampakkan keterbukaan mereka. Tidak boleh terlalu menitikberatkan sesuatu kaum sahaja tetapi memenuhi kehendak semua kaum semampu mungkin. Kerajaan juga perlu menjauhi isu-isu yang sensitif, yang boleh mengguris perasaan mana-mana pihak.
Islam menganjurkan kita untuk berkenal-kenalan dengan kaum yang lain. Tujuan utama ialah supaya kita dapat menyampaikan dakwah kepada mereka. Islam membawa rahmat ke seluruh pelusuk alam.
Marilah kita menjauhi sifat-sifat negatif yang cuba dicucuk oleh sesetengah pihak agar kita bertelagah. Pertelagahan ini akan seterusnya mencetus permusuhan dan perkelahian yang mana kita tidak boleh biarkannya berlaku.
Kita mesti selalu positif dengan rakan-rakan dari kaum lain. Untuk mencapai tahap ini (62 tahun) tanpa adanya peperangan sesama kita amat-amat penting. Sedikit ujian semasa 13 Mei sudah memberi banyak iktibar kepada kita semua.
Jika berlaku sekali lagi peristiwa 13 Mei, saya yakin pihak luar samaada Singapura atau lain-lain negara yang berdekatan akan cuba mengambil kesempatan diatas peristiwa yang berlaku.
Ayuh kita semua bersatu hati! Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!