Berjumpa Sahabat Lama

Kadang-kadang kita terjumpa sahabat-sahabat lama tanpa kita sangka. Itu yang mahal.

Ustaz Sakijan Muri telah beberapa kali aku jumpai di Masjid al-Mukminun di USJ2 dikala solat subuh.

Beliau katanya sudah pencen tetapi masih memberi perkhidmatan di sekolah agama di kawasan USJ2. InsyaAllah akan kembali ke Muar setelah kontraknya tamat nanti.

Bila jumpa Ustaz Sakijan, aku mula teringat tentang teorinya yang digelar ‘Tarbiah Jibril’. Ustaz memperkenalkan teori ini puluhan tahun yang lalu.

Tarbiah Jibril mengorak langkah untuk memperbetulkan tingkah laku pelajar yang tidak baik dengan cara pelukan kemas sebagaimana Jibril memeluk baginda Rasulullah semasa menyampaikan wahyu dulu.

Kalau kita ingat, Jibril menyuruh ar-Rasul (SAW) membaca, “Iqra bismi rabbikallazi khalaq”. Namun nabi menyatakan ‘La ana biqari!’ Maka Jibril terus memeluk Rasulullah (SAW) dan melepaskannya semula. Dan menyuruh baginda membaca semula, “Iqra bismi rabbikallazi khalaq”, namun Rasulullah masih belum tahu membaca. Diulangnya pelukan Jibril itu selama 3 kali maka selepas itu ar-Rasul terus boleh mengikuti bacaan sepertimana yang disarankan Jibril.

Menurut Ustaz Sakijan, pelajar-pelajar yang nakal seharusnya diberikan pelukan ini oleh para guru. Kalau pelajar lelaki maka guru lelakilah yang akan melakukannya manakala pelajar perempuan akan dilaksanakan oleh guru perempuan.

Sebenarnya, saya tidak tahu apa perkembangan teori Tarbiah Jibril ini samaada ia berjaya dilaksanakan atau ia sekadar teori semata-mata.

Walau apapun, kita doakan semoga apa jua teori yang dipraktikkan, ia beroleh manfaat darinya selagi kita tidak menyalahgunakannya seperti membuatkannya untuk berlainan jantina. Moga-moga Allah memelihara niat dan amal ikhlas kita. Tiada lain matlamat dan objektif kita tetapi semuanya Lillahi Taala…

Didoakan ustaz sentiasa dalam limpah rahmat Allah dunia akhirat dan sihat walafiat InsyaAllah. Aamiin3 ya Rabbal ‘Alamin.

UTM Open Day