Tak ramai mengenali buah jambu payung. Anak-anakku rasanya tiada seorangpun yang kenal. Sedap rasanya, masam-masam manis. Itulah nama buah jambu yang menjadi makanan aku semasa kecil. Lain tempat mungkin lain namanya. Tak pasti apa namanya di Johor.
Berapa banyak pokok ini yang ada di fakulti kami (Fakulti Alam Bina & Ukur). Tetapi buahnya hanya menjadi makanan burung dan berlambak-lambak jatuh ke tanah. Tiada siapa peduli dan tiada harga langsung!
Pokok ini juga ada di sebelah Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), berhampiran Masjid Sultan Ismail (MSI). Saya kadang-kadang petik buahnya di sini kerana pokoknya lebih rendah. Dapat makan sebiji dua sudah memadai untuk mengingati nostalgia lama. Kenangan dimasa lalu.
Kadang-kadang saya merasa sungguh sedih melihat buah-buahan yang bertaburan di atas tanah.
Betapa tidak berharganya buah ini sekarang?
Aku pasti jika ia masih ada di kampung, ramai sanak saudaraku akan menikmatinya. Ia sungguh enak dimakan saja dan jika ada pencecah atau coleknya maka lagi sedap rasanya. Ump!
