Lawatan Akademik pelajar-pelajar tahun akhir kursus Pentadbiran & Pembangunan Tanah ke PLANMalaysia atau nama lamanya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Wisma Tun Sambanthan pada 13 November 2019.
Sebenarnya ia adalah sebahagian dari keperluan kelas SGHL4533 Rural & Regional Planning untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada Perancangan Luar Bandar dan Wilayah secara terus dari pihak pelaksana dasar.
Kami diberi penerangan oleh Pn. Aziaton Shuib dan En. Badrul Ramim berkenaan Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara 2030.
Keesokannya (14 November 2019) kami ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada paginya manakala di sebelah petang pula ke Perbadanan Putrajaya.
Dengan lawatan ke PLANMalaysia dan KPLB, ia memenuhi keperluan pembelajaran untuk Rural Planning. Seterusnya lawatan ke Perbadanan Putrajaya pula akan mengisi pengajian tentang Regional Planning.
Saya amat teruja apabila pelajar-pelajar kita didedahkan tentang pembelajaran secara terus oleh pelaksana dasar. Pelajar-pelajar juga akan mendapat maklumat terkini tentang matapelajaran yang mereka pelajari.
Cuma apa yang menyedihkan ialah perbelanjaan bagi tujuan ini harus ditanggung sendiri. Pelajar-pelajar perlu membayar sewa bas yang diberi sedikit subsidi oleh Fakulti. Pensyarah pengiring perlu menanggung sendiri kos makan dan penginapannya. Jauh bezanya 5 atau 6 tahun dahulu, semuanya boleh di’claim’.
Itulah masa telah berubah…
Kalau kita nak ambik mudah, senang aje! Kau terima ajelah apa yang aku ajar. Tak payah susah-susah kita mengeluarkan duit untuk mencurahkan ilmu tambahan dan terkini.
Cuma kadang-kadang kesian juga kepada pelajar-pelajar, selama 4 tahun mereka di Universiti tak pernah keluar ke mana-mana institusi untuk penambahan ilmu.
Pada saya melalui ‘academic study tour‘ inilah pelajar-pelajar akan dilayan oleh institusi berbanding jika mereka datang secara perseorangan ke sana.
Apapun amatlah diharapkan pelajar-pelajar dapat menimba ilmu sebanyak yang mungkin dan kita pula yang membawa mereka akan diberi pahala oleh Allah SWT.
Aku hanya mengharapkan habuan akhirat kerana habuan dunia sudah tiada…