Kami selaku AJK Surau Perjiranan 11, saban waktu memikirkan apakah program-program yang boleh dilaksanakan untuk menarik hati-hati ahli kariah Perjiranan 11 dan persekitarannya. Program terbaru yang kami anjurkan ialah Program Maulidur Rasul Perjiranan 11, Bandar Dato Onn.
Kami menjemput Ustaz Ebit Liew untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Ke arah Mengislahkan Masyarakat’.
Kalau hendak dikira, Ustaz Ebit ini telah mengislamkan mungkin beratus-ratus orang. Beliau sambil bergenang airmata menyatakan ‘Allah sayang awak!’ kepada remaja yang berada di bawah jambatan, para gelandangan dan sebagainya. Itulah modalnya untuk menarik remaja yang belum Islam atau remaja yang tidak mempraktikkan Islam kepada Islam.
Anak-anak perlu kepada sapaan kita sebagai orang tua.
Kita pula mungkin terbawa-bawa dengan cara orang tua kita membesarkan kita. Mana ada sapa menyapa? Yang ada hanyalah arah-mengarah, marah memarah dan tengking menengking. Jauh sekali untuk bersifat macam abang adik atau kawan.
Anak-anak yang tidak boleh masuk dengan ayah akan semakin jauh. Mereka tidak akan menggunakan ayah sebagai tempat untuk bertanya atau mendapatkan pandangan. Maka sudah pasti, rakan-rakanlah yang akan menjadi sumber rujukan mereka. ‘Gap’ yang terbina sukar untuk dirungkaikan!
Ayah sudah pasti mempunyai egonya yang tersendiri. Anak-anak pula sibuk merasakan diri mereka lebih berilmu dan ‘up to date’ berbanding ayah yang kebanyakannya sudah ketinggalan zaman pada pandangan mata mereka.
Alhamdulillah, program bermula pukul jam 6.30pm semalam (7/2/2020). Mulai dengan makan malam nasi beriani kambing, nasi arab, kemudian solat maghrib, isya dan seterusnya ceramah Ust Ebit Liew pada jam 9.10pm.
Ceramah berakhir pada jam 11.10 malam. Kami masing-masing pulang ke rumah lebih kurang jam 12.20am, 8hb. Februari, 2020.
Bilangan mereka yang hadir agak ramai.
Preparation oleh AJK Surau Perjiranan 11 untuk menjayakan program ini agak lama. Pada saya, mungkin mengambil masa lebih dari 2 bulan. Duit yang dibelanjakan juga agak banyak, memakan belanja puluhan ribu.
Apa yang penting, program berjalan lancar dan kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jazakumullahu khairan kathira kepada para penyumbang, baik yang berbentuk barangan, makanan, duit, usaha tenaga dan sebagainya. Moga-moga kita dikurniakan Allah SWT pahala yang berpanjangan. Mudah-mudahan juga dia akan menjadi pemberat kepada neraca amal kita di akhirat nanti insyallah.