Kelmarin, 20 Mac 2020, aku mengerjakan solat maghrib bersama isteri dan 8 orang anak secara berjamaah di rumah. Setelah selesai solat, kami membaca surah al-Kahfi. Begitulah kebiasaannya setiap malam atau hari Jumaat.
Kemudian disusuli pula dengan bacaan Yaasin khususnya untuk sahabatku Hj Sarif Mohyin yang berada di ICU kerana penyakit Covid-19.
Tn Hj Sarif banyak berjasa kepadaku. Hari itu (beberapa tahun yang lalu), aku membeli seekor lembu darinya untuk membuat majlis kesyukuran sempena kejayaan dalam pengajianku. Beliau hanya menjual dengan harga RM2,500, seekor lembu jantan yang sederhana saiznya.
Tidak akan dapat harga sebegitu jika dibeli dari orang lain. Untuk menyedapkan hatiku, beliau menyatakan bahawa beliau ingin menjual lembu tersebut kerana lembu itu pernah membuatkannya jatuh parit.
Ya Allah, Engkau selamatkan Hj Sarif dan permudahkan segala urusan beliau. KepadaMulah aku sembah dan kepadaMu jualah aku mohon pertolongan. Perkenankanlah permohonanku, ya Rabb!