Carik-Carik Bulu Ayam…Akhirnya Bercantum Jua.

Masa kita kecil, adik beradik begitu rapat dan terasa sangat akrab sekali. Kita bergurau, bergaduh, berkelahi, berbaik semula kemudian berkelahi lagi dan berkawan semula. Begitulah putarannya…

Kata orang, carik-carik bulu ayam kemudian bercantum semula.

Akhirnya, seorang demi seorang keluar dari rumah ayah dan ibu. Masing-masing duduk di rumah sendiri atau menyewa rumah lain.

Tetapi yang paling seronok apabila kakak yang mempunyai anak masih menumpang di rumah ayah. Begitu ‘happy’ bermain dengan anak-anak saudara.

Makan masa dulu, tidak berlaku macam sekarang. Dulu, anak-anak menunggu makan bersama ayah ibu. Lauk pauk yang belum disentuh ayah, usah anak nak makan dulu. Ibu akan pastikan anak-anak makan bersama ayah.

Marah ayah hanya dengan pandangan sudah memadai, tidak perlu bersuara… Terus takut si anak.

Tetapi anak-anak sekarang sudah berubah…Suruh disikat rambutnyapun, tidak diturutinya. Usahkan pandangan mata tajam, marah ayahpun hanya dibuat tak pedulinya.

Kemudian rumah ayah semakin lama semakin menjadi kosong, yang tinggal hanya yang tidak mampu belajar tinggi. Yang lain semuanya membawa diri, jauh dari ayah dan ibu.

Masing-masing bina keluarga sendiri. Hubungan sesama adik beradik mulai merasa senggang. Jarang-jarang baru jumpa sekali.

Ayah ibu lagi terasa jika anak cucu tiada di sisi.

Kehidupan keluarga secara extended family sudah menjadi asing sekarang. Dulu dalam sebuah rumah, ada ibu ayah, atuk nenek, adik-beradik dan sepupu sepapat, semua tinggal di bawah satu bumbung.

Cuma yang bagusnya sekarang masyarakat sudah faham tentang aurat. Sepupu sepapat seharusnya menjaga batas aurat. Tidak boleh lagi bertepuk bertampar seperti masa budak-budak dulu.