Rasa Tidak Puas Solat Di Rumah…

Ramai diantara jamaah tegar masih mendatangi masjid dan surau walaupun telah diperintahkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) supaya menjauhinya buat sementara waktu. Mereka sudah terbiasa bersolat di masjid atau surau. Mereka merasai kekok dan sebagainya untuk bersolat di rumah.

Tetapi arahan tetap arahan. Atiullaha wa Atiurrasul, Wa ulul amriminkom… Saban Jumaat kita mendengar khatib membaca ayat itu. Taatilah kamu akan Allah dan taatilah kamu akan Rasulullah. Taati juga mereka yang memerintah kamu…

Pada saya, kita kena biasakan untuk bersolat berjamaah di rumah bersama ahli keluarga.

Arahan yang dibuat itu betul kerana untuk mengelakkan maslahah yang lebih besar. Jangan kita cuba untuk gunakan logik akal. Rumah Allah memang Allah akan jaga tetapi ikhtiar kita juga perlu ada.

Kepada yang kaki masjid atau surau, insyaAllah Allah akan berikan pahala sepertimana yang anda lakukan kebiasaannya walaupun anda bersolat di rumah.

Marilah kita sama-sama menjagai diri kita dan masyarakat kita dari gejala penyakit, terutamanya COVID-19.

Ramadan sudah hampir tiba. Kita sama-sama berdoa agar Ramadan kita pada tahun ini akan terhindar dari penyakit ini dan seterusnya kita dapat menunaikan ibadah di bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya.

Allahummaba Riklana Fi Rejab, Wa Syaaban Wa Balligna Ramadhan. Aamiin, Aamiin, Aamiin Ya Rabbal ‘Alamiin.

Image may contain: 4 people, including Asmini Shaari and Wan Ibrisam Fikry, sky, outdoor and closeup