Sepanjang PKP ini, banyak transaksi kita buat secara cash on delivery (COD). Beli buah, beli ikan, beli ayam, beli daging, beli makanan yang sudah dimasak dan sebagainya. Itulah salah satu cara yang agak cermat dan selamat dari mudah terjebak dengan wabak corona virus.
Memang kita sedaya upaya cuba mematuhi peraturan PKP atau MCO ini. Kata orang, kita is very cautious tentang gejala wabak covid-19 ini.
Pengalaman pembelian secara COD ini banyak yang kita peroleh, baik pengalaman positif mahupun pengalaman negatif.
Yang penting elok juga kita tengok objektif penjual dan pembeli yang membuat transaksi ini. Objektif-objektif ini mungkin jatuh kepada kategori baik dan juga kategori kurang baik.
Objektif penjual mungkin ada beberapa;
i) Menyediakan kemudahan jualan secara COD. ii) Membantu petani-petani yang tidak dapat memasarkan produk mereka. iii) Membantu surirumah supaya tidak perlu keluar rumah semasa gawat ini. iv) Mendapat keuntungan hasil perkhidmatan jualan ke rumah-rumah. v) Menjual makanan untuk mendapatkan pendapatan.
Manakala objektif pembeli pula adalah seperti berikut;
i) Membantu penjual untuk mendapat pendapatan harian. ii) Mendapat perkhidmatan penghantaran barangan ke rumah-rumah. iii) Membantu petani-petani supaya mereka tidak mengalami kerugian yang teruk.
Pada saya dalam situasi sebegini maka seharusnya kedua-dua pihak perlu memikirkan untuk sama-sama menang (win-win). Maksudnya si penjual menang dan si pembeli juga menang.
Pengalaman positif saya ialah dapat membeli 3 biji tembikai bersaiz besar dengan harga RM12. Kalau masa keadaan biasa, harga sebiji tembikaipun mungkin sudah mencapai RM8 sebiji. Semalam saya membeli 10 cucuk satay ayam bersama nasi impit (RM15), 10 cucuk satay lembu bersama nasi impit (RM15) dan 10 cucuk satay kambing bersama nasi impit (RM17) secara COD. Sepatutnya berjumlah RM47 tetapi mendapat diskaun dan saya hanya membayar RM37 sahaja.
Pengalaman negatif pula semalam saya order ayam organik Dr Zainol 5 ekor (RM17.80 seekor). Jumlah keseluruhannya ialah RM89. Hari ini bila isteri semak balik hanya ada 4 ekor sahaja.
Beberapa hari lepas, keluar iklan untuk order daging lembu tempatan. Saya terus pesan 5 kg daging batang pinang dan 2 kg tulang. Petang tu, dia balas kata daging batang pinang sudah habis hanya ada daging biasa. Saya kata oklah 5 kg daging biasa dan 2 kg tulang. Jumlah kesemuanya RM218 termasuk caj delivery RM2. Dijanjikan akan dihantar pada hari ini, hari Ahad.
Pagi tadi, saya whatsapp tanya pasal daging. Dia balas delivery bermula pukul 2.30pm. Hampir Maghrib, saya tanya lagi bila daging nak sampai. Setengah jam kemudian dia datang membawa 2 kg daging. Itu saja yang ada, balasnya.
Isteri tak puas hati kerana daging sudah berbau dan banyak lemak!
Sepatutnya kita kena lebih pemurah di kala wabak corona virus ini. Jangan fikir nak buat duit aje. Kadang-kadang orang membeli kerana hanya ingin membantu. Kalau orang tak membeli maka kita yang membuat jualan harian ini tidak mendapat pelanggan.
Ada seorang kawan saya mesej, katanya dia membuat jualan nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Saya sebagai kawan ingin membantunya telah memesan sebanyak 10 bungkus. Harga yang dikenakan ialah RM65. Katanya lagi, itu sebab datang ambik sendiri, kalau delivery kena RM70. Extra caj 50 sen sebungkus.
So, setakat itu ajelah kita berjual beli wahai sahabat!
Bukan aku perlu belipun, isteri sentiasa memasak di rumah. Cuma atas dasar rasa simpati, aku turut membuat pembelian…