Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dan sama-sama kita berusaha untuk mengimarahkannya. Seawal bulan Rejab lagi, kita telah berdoa Allahumma Baariklana Fi Rejab Wa Syaaban Waballighna Ramadhan. Alhamdulillah doa kita semua dimakbulkan Allah.
Bulan yang barakah inilah yang amalannya berganda, setiap amalan sunat diberi pahala amalan wajib dan setiap amalan wajib digandakan sekurang-kurangnya 70 kali ganda. Apatah lagi kalau kita dapat beramal pada malam Lailatul Qadr, lagilah berganda pahalanya.
Cuma yang sedihnya, inilah kali pertama dalam sejarah kita bersolat taraweh di rumah. Tiada lagi iringan bacaan imam al Hafiz yang merdu, tiada lagi berjumpa teman-teman dan tiada lagi moreh bersama.
Pada tahun ini juga tiada lagi kita iftar bersama. Inilah waktu yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak dan kita semua di Perjiranan 11 setiap kali Ramadhan. Saat yang paling gembira buat kita ialah semasa berbuka puasa dan semasa bertemu dengan Allah SWT nanti.
Alhamdulillah semuanya ada hikmah masing-masing. Pertama, mungkin Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk menjadi imam solat taraweh sekali seumur hidup kita. Maka buatlah yang terbaik semampu yang mungkin. Kedua, mungkin Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk beriftar bersama keluarga kita. Jarang juga kita makan malam (iftar) dan sarapan (sahur) bersama keluarga tercinta. Inilah peluang yang terbaik.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama beramal sebaik mungkin, solat sunatnya, bacaan qurannya, sedekahnya, zakat fitrahnya dan saling maaf memaafkan sesama kita di bulan yang mulia ini. Jangan lupa untuk menghubungi keluarga kita seperti ibu dan ayah yang berada di kampong. Jika mereka sudah tiada, jangan lupa untuk kita titipkan doa buat mereka. Bersedekahlah dengan berniatkan untuk mereka.
Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu Alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh, Ramadhan Kareem
Dr Hj Wan Ibrisam Fikry Hj Wan Ismail
Pengerusi Surau Perjiranan 11
Bandar Dato Onn