Sedekah Untuk Kawan-Kawan Ibu

Di Ramadhan tahun ini seperti biasa, Sekolah Islam Hidayah menganjurkan lagi kutipan derma untuk pembangunan sekolahnya di Johor Bahru dan di Batu Pahat. Terbuka lagi peluang untuk kita berinfaq kerana Allah (lillahi taala) sebelum kita dipanggil pulang ke sana.

Perancangan pembangunan di Johor Bahru ialah untuk membina Kompleks Tahfiz manakala di Batu Pahat pula kita ingin menaikkan bangunan 4 tingkat. Kita juga membantu mengelolakan Sekolah Tahfiz di Segamat, sekolah peninggalan arwah Pak Long.

Pada tahun ini, aku terasa ingin menderma bagi pihak saudara mara termasuk datuk nenek ku hinggalah kepada kenalan arwah bonda yang berada di sekeliling rumahnya dulu. Aku bermohon kepada Allah SWT supaya disampaikan pahala kepada mereka yang aku niatkan untuk mereka. Nama-nama mereka mungkin dah jumble up tetapi rupa arwah mereka masih boleh aku gambarkan.

Antara nama-nama mereka ialah Pak Mud Muar. Bendangnya pernah aku masuki untuk mencari ikan dan aku pernah dikejar olehnya dengan parang. Astaqfirullahal Azim… Ikan darat aku tak makanpun tetapi hobi mencari sahaja. Kak Wan Limah Ketupat pula selalu membawa aku ke rumahnya semasa aku kecil. Ketupat palas yang tersohor di kampungku ialah hasil tangan arwah Kak Wan Limah. Arwah datuk aku, Haji Wan Mohd Salleh dan nenek Lebar yang tak pernah aku lihat, datuk-datuk saudara, bapa dan ibu saudara, adik beradik, anak-anak saudara dan kawan-kawan ibu. Adik beradik sebapa, Abang Mud Pasir Mas yang tak pernah ku jumpa, juga Abang Kob (abang yang berlainan ibu juga) yang pernah aku ke rumahnya semasa kecil di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu. Seramai 33 orang kesemuanya termasuk bapa mertuaku.

Harapan aku hanyalah dengan sedikit infaq ini dapatlah mereka mengampunkan dosa-dosaku disamping memberi mereka pahala yang berterusan dengan pembinaan bangunan baru Sekolah Islam Hidayah nanti. InsyaAllah!