Hari ini, Sabtu bersamaan 16 Mei 2020, melaksanakan kerja menyampaikan Bingkisin Ramadhan kepada asnaf yang tinggal di Pangsapuri Desa Melayu, Bakar Batu, Johor Bahru.
Mencari dana suatu bahagian, membeli barangan suatu bahagian dan mengagihkan barangan suatu bahagian yang lain. Semuanya memerlukan koordinasi supaya sesuatu projek kebajikan dapat berjalan dengan lancar.
Perkara-perkara ini tidak mudah jika dibuat secara individu. Sesetengah orang mungkin tidak menjadi halangan untuk mengeluarkan dana tetapi untuk memikul barangan dan mengagihkannya mungkin ada sedikit masalah. Tetapi apabila kita membuat secara kolektif yakni berjamaah maka isu-isu kecil tadi dapat saling ditampung dan menampungi.
Satu lagi ialah apabila kita membuat sendiri kerja-kerja kebajikan ini, kita mendapat kepastian bahawa barangan yang disumbangkan oleh orang ramai akan sampai kepada kumpulan sasaran asnaf yang dipilih. Bila ini berlaku, alhamdulillah kita akan merasa seronok dan berpuas hati dengan projek yang dilaksanakan.
Pada hari ini lebih kurang 36 orang asnaf telah dipilih di Blok A dan B, Pangsapuri Desa Melayu. Apabila bercakap dengan En. Ali, Ketua Pangsapuri tersebut, mereka yang menginap di sini rata-ratanya bekas penghuni rumah setinggan. Mereka membeli rumah flat 3 bilik dan 2 bilik air di sini dengan harga subsidi yang begitu murah iaitu hanya RM38,000.
Walau apapun pada saya, rumah, eletrik dan air adalah barangan keperluan asas yang perlu dikawal oleh pihak kerajaan. Seboleh-bolehnya ia berada pada tahap yang rendah. Tetapi barangan perkhidmatan kemahuan yang lain seperti ASTRO dan sebagainya bolehlah dinaikkan kepada tariff yang lebih mahal.
Saya mendoakan semoga usaha kita yang kecil ini diterima Allah dan menjadi pemberat semasa ditimbang amal soleh di neraca Allah SWT nanti InsyaAllah.