Hari ini kami dari Persatuan Kakitangan Akademik (PKA) membuat pembentangan kepada Ketua Pengarah JHEKS, Tn. Hj. Kamal Pardi untuk menulis sebuah buku yang berkaitan dengan Kesatuan Sekerja.
‘On the way back’, kami singgah di Tangkak untuk membeli durian.
Kami singgah di 2 kedai Cina, satu ‘retailer’ manakala satu lagi ‘wholesaler’. Di kedua-dua kedai ini, kami mempelajari banyak etika Islam yang sepatutnya diamalkan oleh peniaga-peniaga Islam terutamanya orang melayu. Tetapi ia ada dan diamalkan oleh peniaga-peniaga cina.
Yang pertama, mereka tidak berkira sangat. Mereka kopek beberapa biji untuk kami makan tanpa dikira harga. Kedua, mereka tidak kedekut untuk memberi alamat dan nombor telefon kawan mereka yang berniaga durian. Asasnya ialah ‘wa untung sikit, dia untung sikit’. Tiada perasaan tamak haloba, dengki mendengki.
Ketiga, bila kita beli sebakul durian dengan harga borong RM3 sekilo. Di sebelahnya ada sebakul lagi, apabila kita nak beli juga yang itu. Dia dengan ikhlas menyatakan yang itu tidak elok, ada lubang. Kalau orang kita rasanya dijualnya juga…mungkin dengan harga yang sama.
Pernah juga pada minggu lepas setelah ditimbang dan dibuka untuk dimasukkan ke dalam bekas, ada satu paksa didapati rosak. Taukeh ambil sebiji untuk ganti dan bukannya sepaksa.
Kami hanya terpegun dengan prinsip-prinsip yang dipegangnya iaitu seperti sifat pemurah, berlaku adil, membantu kawan-kawan yang lain dan sebagainya.
Kami merasakan ia seperti yang dikatakan oleh Muhammad Abduh yang menyatakan bahawa aku pergi ke Barat dan melihat Islam tetapi tidak berjumpa Muslim, aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim tetapi tidak melihat Islam.
Sama-samalah kita memperbaiki diri kita dengan akhlak Islami. Mudah-mudahan berjaya insyaAllah!