Sakit Ujian Allah

Selama seminggu aku sakit belakang dekat pinggang. Hendak bangun dari tidur susah, hendak rukuk dalam solatpun susah. Pendek kata kalau boleh hanya ingin solat ekspres!

Bila keadaan ini berlaku, keinginan untuk ke surau atau masjid sudah menjadi hambar. Rindu kepada rumah Allah tetapi terasa susah untuk ke sana. Aku pasti ada kawan-kawan yang menanyakan aku. Tetapi apakan daya…

Allah uji seminggu saja. Semalam aku akur dengan saranan Dr. Wan Khairunnisa supaya memakan ‘pain killer‘. Hari ini sakitnya hilang. Pada mulanya aku telah bertekad untuk ke Pusat Kesihatan UTM (PKU) pada hari ini. Tetapi apabila sakitnya hilang, aku batalkan saja. Kenapa PKU? Kerana ia mempunyai alat x-ray yang dapat melihat punca sakitku.

Itulah kita, sentiasa diuji dan diuji… Kadang-kadang sakit terasa bagai sudah sampai masanya untuk berhijrah ke alam baqa’. Apabila mengingatkan betapa kerdilnya ‘amal yang telah terkumpul, mengalir manik-manik jernih menuruni pipi yang usang. Apa, ada harapan untuk meraih syurgaMu, ya Allah? Atau aku hanya layak mendiami nerakaMu? Na’uzubillahu min zaalik!

Apabila hilang sakitnya, aku terus ke surau untuk solat maghrib dan Isya’. Sebagai tanda mensyukuri nikmat sihat yang Engkau berikan.

Aku amat faham dengan firmanMu ya Allah, “Tidak aku jadikan jin dan manusia HANYALAH untuk beribadat kepadaKu”. Itulah ‘role‘ aku yang perlu dimainkan sejak lahir hingga mati. Dan ‘role‘ seluruh manusia dan segenap jin. Cuma kadang-kadang kita terlupa apa tujuan kita diwujudkan di dunia ini.

Kita semua diuji untuk mengetahui siapakah diantara kita yang terbaik amalannya?

Dan di akhirat nanti kita dinilai dengan neraca Allah yang tiada lagi cacat celanya timbangan. Semua akan mendapat balasan setimpal dengan amalan masing-masing walaupun sebesar zarah.

Ya Allah, kasihanilah daku, ampuni dosaku dan berikan syurga kepadaku. Aamiin, aamiin, aamiin ya Rabbal ‘Alamin!