Budaya Baru Selepas Viva…

Budaya ini tidaklah baharu sangat.  Tetapi seingat saya puluhan tahun dahulu, tak ada ia berlaku sebegini. Kalau dulu apabila habis viva maka habislah. Seingat saya, kita hanya diberi sekeping gambar yang merangkumi semua pelajar-pelajar tahun akhir tersebut.

Sekarang ia berbeza. Maksudnya, apabila pelajar-pelajar dibawah seliaan kita tamat Projek Sarjana Muda (PSM), semasa mereka ingin mendapatkan tandatangan kita maka dibawanya hadiah. Macam-macam hadiah yang pernah saya dapat. Ada kain batik untuk buat baju, ada kain untuk buat baju melayu, ada sejadah, ada kain pelikat, ada buah-buahan dan sebagainya.

Perkara ini juga berlaku dikalangan pelajar-pelajar master pesisir. Tetapi ia tidak berlaku dikalangan pelajar master perdana. Hairan juga. Kenapa pelajar master pesisir yang membayar yuran yang jauh lebih tinggi lebih menghargai para supervisor dan panel viva mereka?

Saya mendapat bermacam-macam hadiah dari mereka. Ada hadiah dari pelajar seliaan kita dan ada hadiah dari pelajar yang mana kita menjadi panel viva mereka. Of course hadiahnya lebih lumayan kerana mereka adalah pelajar yang sedang bekerja. Mereka merupakan pegawai-pegawai kategori A. Saya pernah mendapat beg, pen, beg sandang, jam tangan, baju kemeja, wallet, tali pinggang dan sebagainya.

Mungkin ia merupakan norma baru pelajar-pelajar alaf baru. Hendak dikatakan rasuah, benda itu diberi setelah semuanya berakhir. Mungkin kita boleh katakan sebagai a token of appreciation kepada penyelia dan panel viva yang pernah memeriksa mereka.

Pada saya, ia tidak perlu diberikan hadiah-hadiah ini. Kami hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah dan penyelia mereka.

Tetapi apabila diberi, kami terima aje! Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan…