Banci Penduduk 2020

Saya rasa semua dari kita mendapat kad banci ini. Ia dihantar kepada semua alamat yang ada di Malaysia. Ada yang isi seperti arahan yang diberikan dan ada yang buat tak kisah. Kaedah yang paling mudah ialah buat tak kisah.

Sekiranya kita adalah masyarakat madani maka kita akan prihatin dan cuba mengisi. Sebaliknya pula pendekatan, “Ada aku kisah?” adalah menjadi pilihan majoriti.

Tetapi tuan/puan, saya nasihatkan supaya isi. Memang panjang soalan dan memang lama untuk mengisinya. Saya mengambil masa 3 hari. Hari ini isi sikit kemudian bosan, isi esok pula dan seterusnya.

Banci penduduk ini dibuat setiap 10 tahun sekali; 1970, 1980, 1991, 2000, 2010 dan sekarang 2020.

Data ini amat berguna kepada kerajaan mahupun institusi perniagaan.

Kerajaan ingin melihat bilangan populasi untuk menyediakan kemudahan fasiliti awam, infrastruktur dan sebagainya. Kerajaan perlu merancang berdasarkan maklumat yang tepat.

Perniagaan juga perlu melihat komposisi umur dan jantina bagi menawarkan produk mereka. Jika sesebuah kawasan mempunyai penduduk graduan universiti yang ramai maka pemaju mungkin membina kondominium kerana kumpulan ‘yuppies‘ ini suka hidup secara eksklusif dengan gaya hidup mewah. Dengan kata lain, sesuatu produk dipasarkan mengikut golongan sasaran yang ada.

Saya teringat semasa saya belajar di USA sekitar tahun 80an dulu. Kellogg merupakan ‘cereal’ makanan bijiran di zaman kanak-kanak. Pada tahun 80an, masyarakat di US ‘tend to delay their marriages and go for their careers‘. Apa akan jadi kepada syarikat Kellogg jika tiada banci yang dibuat dan mereka terus menawarkan produk ‘cereal’ untuk kanak-kanak? Sudah pasti syarikat ini akan bankrap kerana tiada permintaan dari pembeli.

Apakah langkah yang diambil oleh mereka? Mereka memasarkan produk baru iaitu Branflake untuk golongan tua. ‘Cereal Branflake’ ini dikatakan mempunyai kandungan serat yang tinggi yang boleh membantu menyihatkan orang tua.

Banyak manfaatnya census ini, baik kepada kerajaan, peniaga-peniaga dan orang awam seperti kita. Kerajaan berbelanja berjuta-juta ringgit menggaji ‘enumerator’ untuk melaksanakan banci ini. Kalau kita boleh meringankan sedikit beban tanggungan kerajaan dengan mengisi borang ini adalah sangat baik sekali.

Apabila kita mengisinya, isilah dengan tepat. Kita tidak perlu risau dengan maklumat yang diberikan. Jika kita membuat pembohongan di borang ini maka data yang diperoleh nanti adalah tidak mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Luangkan sedikit masa kita demi perancangan negara! Kita dan kerajaan merancang untuk negara kita. Inilah pendekatan yang dipanggil sebagai bottom-up dan top-down approach.

Kerajaan bantu kita, kita bantu kerajaan. Jom!