Hari ini keputusan telah dibuat oleh mahkamah. Datuk Seri Najib, mantan Perdana Menteri Malaysia telah dijatuhkan hukuman bersalah kerana pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Berhad.
Perbicaraan memakan masa hampir 2 tahun satu bulan sebelum keputusan ini dibuat.
Walau apapun beliau masih boleh membuat rayuan, di Mahkamah Rayuan di hadapan 3 hakim dan di Mahkamah Persekutuan dengan 5 hakim pula.
Kita ingin melihat keadilan ditegakkan. Pesalah juga diberi peluang untuk membuat rayuan supaya tiada siapa teraniaya. Tidak kira siapa dia, rakyat biasa mahupun pembesar negara. Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar.
Kita tidak mahu melihat jika ia seorang rakyat marhaen maka ia bersalah tetapi jika dia seorang kenamaan maka ia tidak bersalah.
Teringat kata-kata Rasulullah (SAW) bahawa jika Fatimah itu mencuri maka hukuman potong tangan juga akan dikenakan walaupun beliau merupakan anak kesayangan baginda.
Ya Allah, Engkau tegakkan kebenaran dan keadilan di negara Malaysia yang kita cintai ini.
Cuma yang kurang eloknya ialah dimasa wabak penyakit pendemik ini seharusnya rakyat mendengar arahan kerajaan untuk tidak berkumpul tetapi pagi tadi ia tidak dipatuhi. Ramai rakyat yang menyokong Datuk Seri Najib berkumpul di depan mahkamah.
Pada saya bolehlah berkumpul tetapi SOP perlu dijaga. Kalau kita melarang orang berkumpul nanti ada penyokong tegar tidak berpuashati pula. Biarkan mereka berkumpul tetapi jaga jarak dan memakai pelitup muka (mask). Itu aje. Nanti ada orang orang terkena covid-19 hasil perhimpunan ini maka ia menjadi susah kepada semua orang. Negara terpaksa menanggung kos lagi.
Apapun, kita berdoa semoga kita terhindar dari gejala covid ini. Dalam keadaan sekarangpun, ramai yang susah. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang hilang pendapatan dan sebagainya.
Mudah-mudahan negara kita akan pulih sepenuhnya dari penyakit dan keadilan pula akan tertegak dengan sempurna.
Aamiin, aamiin, aamiin ya Rabbal ‘Alamin!