Iftar Di Hari Arafah Dan Solat Sunat Eid-ul-Adha

Alhamdulillah hari ini 9 Zulhijjah 1441 bersamaan 30 Julai 2020, Surau Perjiranan 11 akan mengadakan iftar atau majlis berbuka puasa kepada muslimin dan muslimat yang tidak pulang ke kampung. Semua ahli kariah Perjiranan 11 dipersilakan hadir. Sekiranya berkelapangan, tuan/puan juga boleh sama-sama menyumbang juadah untuk majlis berbuka ini.

Selesai berbuka puasa, kita akan sama-sama mengerjakan solat fardhu Maghrib dan seterusnya membaca surah Yaasin dan disambung pula dengan solat Isya bersama.

Kita juga akan bertakbir mengagungkan kebesaran Allah SWT setiap kali selepas solat, bermula pada Subuh pagi tadi sehinggalah selepas Asar hari Isnin minggu depan 3 Ogos 2020, bersamaan 13 Zulhijjah 1441. Kita beraya selama 4 hari iaitu Hari Raya pertama dan 3 hari Tasyriq.

Pada besok pagi, kita pada julung-julung kalinya akan mengerjakan solat sunat Hari Raya Korban di Surau Perjiranan 11. Kepada ahli kariah yang tidak pulang ke kampung, mereka boleh membuat pilihan samaada ingin mengerjakan solat sunat Hari Raya di Masjid Sultan Ismail (MSI), di Surau Perjiranan 11 ataupun di rumah masing-masing.

Setiap program yang surau anjurkan wajar diberi penekanan tentang SOP gejala wabak covid-19. Semua dari kita seharusnya mengambil precaution measure untuk membendung pendemik ini dari merebak. Dengan kata lain, kita membuat program untuk mengingati Allah SWT yang menjadikan semua yang ada di bumi dan di langit serta menginsafi bahawa Dialah jua yang boleh menjadikan suasana kembali seperti sediakala.

Saya diminta oleh Dr. Firdaus untuk menyembelih kambingnya di pusat penyembelihan esok pagi. InsyaAllah akan saya tunaikan. Beliau akan datang mengambil saya di rumah esok pagi.

Pada hari lusa, daging korban satu bahagian saya dan satu bahagian isteri saya akan sampai di Sekolah Islam Hidayah. Saya bercadang untuk mengedarkannya di flat Bukit Mutiara disamping kepada jiran tetangga Perjiranan 11.

Akhir sekali, marilah kita doakan semoga Korban kita pada tahun ini diterima Allah SWT dan usaha amal kita direstui dan dicatitkan sebagai sebahagian dari amal soleh kita insyaAllah.