Alhamdulillah, pada pagi ini julung-julung kalinya kami menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Adha di Surau Perjiranan 11. Ia dilaksanakan demi untuk mengurangkan kesesakan di Masjid Sultan Iskandar (MSI), Bandar Dato Onn terutama di musim pendemik Covic-19 ini.
Tidak pernah kita buat solat raya di Surau. Ada komen dari ahli kariah supaya solat sunat raya ini diadakan di surau kita bagi setiap kali hari raya.
Pada saya, ia adalah satu cadangan yang baik. Secara tidak langsung, ia boleh mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kami di Perjiranan 11. Kalau tidak, langsung kami tidak mengenali jiran-jiran muslim yang ada kecuali mereka yang selalu hadir untuk menunaikan solat waktu di Surau.
Program bermula seawal jam 8 pagi dengan bertakbir, membesarkan keagungan Allah SWT. Kemudian ia disusuli dengan solat sunat raya.
Seterusnya khutbah hari raya disampaikan oleh Ustaz Wan Abdul Rahman, kemudian kami berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad (SAW) dan diakhiri dengan sedikit jamuan. Jamuan disediakan secara potluck oleh keluarga masing-masing.
Didoakan semoga amalan solat, takbir, berselawat serta ibadah korban kami nanti direstui dan diterima Allah SWT, InsyaAllah.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd!