Korban Hidayah 1441H

Program Korban Hidayah telah diadakan pada hari raya kedua, tanggal 11 Zulhijjah 1441 bersamaan 1 Ogos 2020.

Program Korban Hidayah pada tahun ini dianjurkan oleh PIBG SMIH bersama-sama dengan Yayasan Hidayah dan SIH Niaga serta PIBG SRIH.

Selaku penganjur merangkap Ketua Lembu 1, saya tiba seawal jam 9 pagi tadi.

Saya dikejutkan dengan berita yang disampaikan oleh Ustazah Siti Rahayu Md Yusof bahawa kesemua lembu kita sebanyak 20 ekor akan sampai pada hari ini dari rumah penyembelihan. Pada awal perancangan hanya 10 ekor yang disembelih hari ini manakala 10 ekor lagi akan disembelih esok di ‘slaughter house‘.

Risau juga kita, takut tidak cukup ‘manpower‘ untuk mengerjakannya. Apapun alhamdulillah dengan izin Allah SWT, kita siap ‘packing‘ kesemuanya sekitar jam 1 petang. Kemudian proses agihan kepada peserta korban dan juga kepada asnaf yang telah dirancangkan dilakukan.

Ramai juga yang terkejut kerana mereka ‘expect‘ lembu mereka disembelih pada hari esok. Jadi ada juga yang akan datang mengambil daging mereka pada esok hari kerana mereka berada di luar kawasan hari ini.

Saya pulang ke rumah sekitar jam 3.30 petang, meninggalkan Pn. Su dan Ustazah Ayu untuk menguruskan kesemuanya. Merekapun yang bertungkus lumus mengerjakan program ini, bersama-sama dengan Pn. Rosila Ahmad, Pn. Rosnita Ahmad dan lain-lain. Saya hanya tukang menyibuk aje.

Sebenarnya saya sungguh teruja dengan beberapa orang parents Hidayah yang mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam membantu institusi Hidayah. Saya doakan semoga Allah SWT membalas jasa mereka dengan balasan yang setimpal di akhirat kelak.

Seusai mandi dan solat zohor, sekitar jam 4 petang saya bergerak mengedar daging dan tulang kepada jiran-jiran Perjiranan 11 dan asnaf yang berada di flat Bukit Mutiara.

Pengalaman di flat Bukit Mutiara agak seronok juga. Flat 4 tingkat tidak kami daki kerana kami telah kepenatan.

Apa yang kami buat ialah kami hanya mengedarkan kepada penghuni yang berada di bawah samaada kepada mereka yang baru keluar atau ingin menaiki kenderaan.

Alhamdulillah daging dan tulang selamat kami edarkan.

Pada saya penduduk flat ini ada yang jujur, maksudnya apabila saya mempelawa daging korban, mereka menyatakan bahawa mereka juga berkorban dan tidak ingin mengambil daging korban kami. Ada juga mengatakan bahawa mereka sudah dapat tadi, mungkin dari orang lain…

Kepada sesetengah orang, apa ada masalah, rembat aje. Tetapi mereka jujur dan tidak ingin mengambil hak orang lain. Ada seorang abang tu, apabila kita ingin memberikan kepadanya, dia menolak kerana beliau tinggal bersendirian dan tidak memasak.

Dalam kami sibuk mengagihkan daging, tiba-tiba ada 2 orang muda mengejar seorang pemuda. Apabila saya mendekati mereka, mereka mengeluarkan kad kuasa sebagai anggota polis.

Satu lagi pemerhatian saya di kawasan flat ini ialah semua rumah mempunyai disc ASTRO. Dengan kata lain, walau susah macamanapun, hiburan perlu ada. Ia tidak memadai dengan TV channel  yang disediakan kerajaan. TV channel Singapurapun mungkin sudah ada tetapi kita ingin lebih lagi siaran-siaran yang lain. Kadang-kadang hiburan boleh mengalihkan kita dari permasalahan hidup dan membawa kita ke alam fantasi yang lain.

Adakah itu kehendak masyarakat kita? Atau adakah itu sebenarnya apa yang kerajaan inginkan rakyatnya berada? Yakni berada dalam keadaan tidak berfikir untuk masa depan yang lebih baik dan hidup dalam keadaan lalai? Pada saya, bangsa kita agak ke depan dalam hiburan berbanding dengan kaum Cina. Ini termasuklah dengan aktiviti permainan video games dan sebagainya terutama dikalangan anak muda.

Tempat parkir di kawasan flat juga tidak mencukupi. Kereta diletakkan di kawasan parkir dengan berlapis-lapis. Mungkin fenomena biasa iaitu kereta tidak dinaikkan hand brake. Maka apabila kereta di belakang ingin keluar, kereta di depan ini dapat ditolak sedikit untuk memberi laluan.

Saya bersama 2 orang anak, Ustaz Wan Abdul Rahman dan Wan Abdullah Syakir selesai menjalankan pengagihan sebelum jam 5 petang.

Selepas solat asar, saya tertidur kepenatan.

Apa yang saya harapkan ialah semoga ibadah korban yang kami semua laksanakan ini diterima Allah SWT. Mudah-mudahan kami dimurahkan rezeki dan boleh melaksanakannya lagi di tahun hadapan InsyaAllah. Aamiin, aamiin, aamiin ya Rabbal ‘Alamin.