Inna lillahi wainna ilaihiraaji’un. Allahummagh firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu… Didoakan engkau sejahtera di alam kubor sementara menunggu hari perbicaraan di yaumul mahsyar nanti.
Kawan satu jabatanku pergi menemui Allah SWT, awal pagi ini di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Allahyarham Razani mengalami kombinasi pelbagai penyakit seperti kencing manis yang memerlukan proses dialisis, darah tinggi dan sebagainya.
Semua yang bernyawa pasti akan menemui mati. Tidak kira apa usianya, muda atau tua, giliran pasti akan sampai.
Aku mengenali allahyarham Razani Ab. Rahim sejak tahun 1995. Aku rasa arwah memasuki UTM lebih awal 3 tahun dari ku, mungkin sekitar tahun 1992. Arwah berasal dari Kuantan, Pahang.
Jenazah Razani dikebumikan di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai.
Allahyarham Razani ditalkinkan tadi dengan panggilan Razani bin Zaleha. Talkin tadi sebenarnya untuk kita yang masih hidup.
Soalan-soalan malaikat Mungkar dan Nakir diajukan dan diberikan jawapan oleh imam untuk kita memahaminya dengan sebenar-benarnya. Ia bukan untuk diingat atau dihafal tetapi ia perlu dihayati dengan jiwa dan raga.
Siapa Tuhan kamu? Apa agamamu? Siapa nabi kamu? Dan soalan-soalan yang seterusnya wajar kita hayati.
Jika kita mengaku Allah sebagai Tuhan kita, adakah kita menyembahNya sepertimana yang sepatutnya kita sembah? Adakah kita menjadi seorang hamba abid yang kuat beribadah? Begitu juga jika kita mengaku Nabi Muhammad adalah nabi kita, apakah kita menurut sunnah dan ajarannya?
Hayatilah soalan-soalan tadi sebelum ia akan ditalkinkan pula kepada kita yang berada nun di bawah sana…
Insaflah wahai diri ini, engkau bukan berada di sini buat selama-lamanya… Engkau akan bermusafir pergi dari sini ke tempat yang kekal abadi.
Astaqfirullahal ‘Azim!