Apakah Yang Menyebabkan Berlakunya Rasuah?

Isu ini menjadi perkara utama di negara miskin dan negara membangun. Rasuah sudah menjadi darah daging bagi sesetengah negara. Negara Islamkah dia, negara bukan Islamkah dia? Semua sama… Pemimpin-pemimpin bercakap sikit punya bagus tentang rasuah tetapi praktikal adalah sebaliknya.

Dimana silapnya?

Pada saya ia melibatkan ‘push and pull factors’. Apa yang ‘push’ dan apa yang ‘pull’?

Faktor tolakan adalah seperti kita mesti dapatkannya untuk kelangsungan hidup yang sempurna. Faktor tarikan pula ialah adanya peluang untuk mendapatkan sesuatu dengan mudah dengan sedikit suapan. Masyarakat pula tidak menganggapkan perkara itu rasuah tetapi melihatnya sebagai suatu perkara yang normal untuk mendapatkan perkhidmatan.

Dengan bahasa mudah ialah kita ingin mendapat sesuatu dengan cepat tetapi rata-ratanya kita bekerja dibawah normal kepantasan yang sepatutnya. Kerja yang sepatutnya selesai hari ini, kita tangguh esok hari.

Apabila ini berlaku, fail akan bertimbun dan kita pula tiada usaha untuk melangsaikan urusan yang tertunggak. Maka berlakulah apa yang dipanggil duit pelincir. Engkau hendak cepat tetapi fail engkau masih di bawah maka hulurkanlah…

Pekerja-pekerja pula kurang komited. Walaupun kelihatan ramai pelanggan di depan kaunter tetapi kaunter yang dibuka tetap satu atau dua sahaja. Yang lain sedang mengambil masa rehat atau sebagainya.

Kadang-kadang kita perlu tunjukkan keseriusan kita menangani gejala rasuah. Maka kita tangkaplah golongan marhaen dan kenakan tindakan beserta dengan berita secara besar-besaran di muka surat hadapan. Tetapi apabila golongan pemimpin atasan melakukannya, kita kurang nampak atau buat-buat tak nampak (Ini sekadar membuat kenyataan negatif sahaja tetapi hakikat tidak begitu).

Sekarang zaman celit IT. Suatu berita boleh tersebar dalam sekelip mata walaupun berita itu belum tentu benar atau sahih lagi. Kita ingin menjadi orang yang pertama menyalurkan maklumat!

Ini yang selalu masyarakat hebohkan. Golongan bilis terkena tetapi golongan jerung terlepas! Kadang-kadang kadar hukuman yang dikenakanpun tak seimbang. Hukuman rasuah kecil agak besar, sebaliknya hukuman rasuah besar tampak kecil dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya.

Ramai juga berkata bahawa sepatutnya Kepimpinan Melalui Tauladan adalah motto bagi setiap Jabatan Kerajaan tetapi hakikatnya ia seumpama Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul! Orang atasan tidak menunjukkan qudwah yang baik kepada golongan bawahan.

Semakin tinggi jawatan kita maka semakin susah untuk dikenakan tindakan. Apatah lagi para menteri. Penyelewengan menteri kadang-kadang apabila dibicarakan ia nampak seolah-olah bermotifkan politik. Kesalahan yang didakwakan berpuluh-puluh tetapi satupun tak lekat. Ada kes yang lain pula, yang rakyat nampak bersih tetapi pihak pendakwa cuba untuk mengenakan kesalahan kepadanya.

Kita jadi pening… Yang mempunyai 30 lebih kes boleh lepas tetapi yang lain yang ada satu dua kes boleh sangkut.

Walaupun kita masih belum diadili di akhirat tetapi buatlah pengadilan yang sewajarnya di dunia ini. Kita sangat-sangat mengharapkan bahawa ia bukanlah suatu Pengadilan Terpilih!