Ziarah Anak Saudara Isteri

Setiap undangan wajib dipenuhi. Hari ini cuba memenuhi undangan anak saudara isteri, Chegu Azimah Asmadi di Taman Scientax, Pasir Gudang yang membuat Majlis Kesyukuran.

Ini kali pertama datang ke Kompleks Perumahan Guru, Taman Scientax, Pasir Gudang.

Dulu-dulu mungkin belasan tahunan, sebelum kelahiran Wan Asmaa Solehah (sekarang berumur 12 tahun) selalu juga datang ke Masjid Pasir Gudang kerana bersebelahannya ada taman. Di taman ini, anak-anak boleh bermain buaian, ‘merry go round’, jongkang jongket, ‘paddle boat’ di tasik dan sebagainya.

Di Masjid ini juga, pernah aku datang berqiamul-lail, mendengar ceramah, kuliah subuh, dan sebagainya.

Dah banyak rumah-rumah di sini rupanya.

Jalan highway Pasir Gudang sudah mempunyai 3 lorong sehala. Dengan kata lain, 6 lorong untuk dua hala.

Dulu masuk highway Pasir Gudang kerana hendak ke pasaraya borong Makro. Untuk ke Makro perlu ada kad ahli. Tanpa kad, tak boleh masuk. Sekarang Makro sudah tinggal kenangan, hanya tinggal nama sahaja.

Saya mengenali Makro semasa di Sheffield dulu. Selalu ke Makro untuk membeli barang-barang kegunaan masjid atau Islamic Centre yang juga dikenali sebagai Muslim Welfare House of Sheffield.

Cepat berkembang kawasan Pasir Gudang ini.