
Berbahaslah dalam parlimen atau di dewan undangan negeri secara bijaksana. Bercakap dengan fakta yang kukuh demi penambahbaikan sistem yang ada.
Salah satu dari 9 cabaran Wawasan 2020 adalah seperti di bawah;
(i)Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi diperingkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
Apa yang saya nampak sekarang kebanyakan ahli politik kita tidak mempunyai prinsip. Perjuangan untuk mendapat kekayaan sendiri. Setelah menang, sesiapa yang boleh ‘offer‘ aku hadiah lumayan maka aku melompat ke parti tersebut. Tiada kesetiaan politik! Tiada berprinsip!
Usah bicara pasal rakyat. Untuk berkempen ‘yes‘, itu perlu supaya nampak kita prihatin dan mesra rakyat. Tetapi setelah menang, itu aku punya hal.
Rasanya belum ada lagi pemimpin politik Malaysia bertaraf Menteri yang akan melepaskan jawatan jika sesuatu perkara buruk berlaku di bawah kementerian mereka. Tiada rasa kebertanggungjawaban sama sekali!!!
Rasanya juga belum ada Menteri di Malaysia yang tidak mempunyai kekayaan melampau selepas berhenti dari memegang jawatan KECUALI bekas Menteri Besar Kelantan.
Perkara melompat sudah menjadi perkara lumrah sekarang ini berbanding dengan zaman dahulu. Mungkin pakar melompat Ibrahim Ali tersenyum lebar melihat ramai dikalangan YB meniru gelagatnya.
Perbicaraan rasuah pemimpin sudah menjadi biasa. Tiada lagi erti malu kepada rakyat marhaen, apatah lagi kepada Allah. Astaqfirullahal ‘Azim!
Slogan-slogan yang membela pemimpin-pemimpin rasuah direka serta dilaung-laungkan dan sudah tentu mengabur mata anak-anak sekolah yang masih putih bersih. Bila buat salah tak payah rasa malu… Ungkapan lama seperti malu kerana salah, berani kerana benar mungkin sudah tidak relevan lagi.
Yang ‘so-called‘ berimej Islampun tidak boleh mematuhi peraturan dunia. Rakyat biasa diarah supaya berkuarantin di rumah apabila keluar negara. Kita yang sepatutnya membawa imej Islam sepatutnya lebih lagi menunjukkan qudwah terbaik tapi…
Saya rasa seperti malas lagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi. Apa kepastian yang mereka boleh berikan bahawa pemimpin yang saya undi itu akan meneruskan dengan agenda memperbaiki negara.
Kenapa tiada dari Republican melompat kepada Democrat di USA? Kenapa tiada pemimpin dari Labor melompat kepada Conservative di UK? Lebih baikkah peribadi dan hati budi mereka dari kita? Apa masalah pemimpin-pemimpin kita?
Apa yang pasti rasuah semakin meningkat. “Rasuah kelihatan semakin meningkat walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan. Satu kaedah dalam memerangi rasuah ialah melaksanakan kawalan dalaman dengan kerajaan dan organisasi-organisasi menggunapakai teknik kawalan yang kukuh. Kawalan dalaman bukan semata-mata satu prosedur atau dasar yang dilaksanakan pada masa-masa tertentu, sebaliknya ia merupakan satu sistem bersepadu yang terus-menerus beroperasi di semua peringkat dalam sesebuah organisasi.” (Siri Penyelidikan Pengajian Rasuah, UKM 2018).
Pada saya, lebih banyak lagi slogan-slogan wajar dimainkan di kaca TV, corong-corong Radio, di dada-dada akhbar dan sebagainya bagi mengingatkan rakyat serta pemimpin betapa kotor dan kejinya rasuah dari segi peradaban manusia mahupun dari segi hukum Tuhan.
Jauhilah Rasuah, Perosak Jiwa!