Janganlah kita mudah merasa sudah banyak amalan kita kepada Allah SWT. Dah penat hendak beramal! Cuba tengok balik apa tanggungjawab kita kepada Allah. Maksud ayat al-Quran, “Tidak aku jadikan jin dan manusia tetapi hanyalah untuk beribadat kepada Ku.”

Solat sunat kita pula bagaimana? Paling malas buatlah solat sunat dhuha. Kalau kita bangun awal sebelum pukul 5.30 pagi, kita masih sempat untuk solat sunat tahajud 2 rakaat dan solat sunat witir paling leweh 1 rakaat. Kalau boleh buat 3 rakaat witir lagi bagus.
Bacaan Quran kita bagaimana? Cubalah setidak-tidaknya sehelai sehari. Kalau dapat satu juzuk sehari lagi bagus, setiap bulan kita boleh khatam al-Quran.
Sedekah atau infaq kita pula bagaimana? Mulakan dengan target RM100 sebulan. Banyak kita dapat salurkan sumbangan kita, ke masjid, ke surau, ke tabung Palestin dan lain-lain lagi.
Sebenarnya saranan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri. Dengan hadirnya tahun baru Hijrah 1442 maka tambahkan komitmen kita untuk beribadah.
Kita berlari kearah garisan penamat. Sewajarnya larian kita semakin pantas. Jangan kita jadikan ketuaan kita sebagai alasan untuk berlengah-lengah. Yang paling penting, kita takut kita menyesal yang teramat sangat dikemudian hari apabila kita sudah tidak boleh beramal lagi… Masa sudah sampai!