Peristiwa 1 September 2020

Alhamdulillah. Terima kasih dan jazakumullahu khairan kathira kepada semua rakan-rakan yang mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada saya.
Doa tuan/puan, mudah-mudahan dikabulkan oleh Allah SWT. Begitu juga saya pohon kepada Allah SWT untuk memakbulkan doa yang sepertinya kepada tuan/puan juga.
Allahu Akbar… Sudah 56 tahun saya diberikan nikmat Iman dan Islam kepada saya. Biasalah bila umur sebegini ada sedikit sebanyak penyakit yang Allah ujikan kepada kita. Penyakit kencing manis sudah menjadi penyakit keturunan. Arwah ibu saya dan arwah bapa mertua serta ibu mertua saya pun sama. Penyakit orang Kelantan yang suka makan manis-manis.
Pada hari jadi saya semalam, saya dimaklumkan bahawa mak saudara saya (adik kepada arwah bonda tersayang) telah pergi menyahut seruan Ilahi di usia 90 tahun (1930-2020) pada jam 9.30 pagi.
Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji’un. Allahummarg Firlaha Warhamha Wa’aafiha Wa’fuanhaa. Didoakan semoga roh allahyarhamah ditempatkan bersama-sama para solehin.
Tiada lagi mak saudara saya. Sekarang tinggal lapisan kami adik beradik yang menunggu giliran untuk ke sana. Seorang abang dan seorang kakak saya sudahpun mendahului…
Arwah mak saudara saya yang saya panggil makcik adalah agak rapat semasa saya kecil-kecil dulu. Saya pernah bersama makcik dan arwah suaminya pergi menanam jagung dan tembikai di dataran Sungai Kelantan iaitu di hadapan pengkalan bot Palekbang. Dataran ini terbentuk hasil lumpur, pasir serta tanah yang dibawa oleh arus air bah di tengah-tengah Sg. Kelantan.
Arwah Abang Leh (entah macamana panggilan yang saya panggil kepada suami arwah makcik, sepatutnya Ayah Leh atau Pakcik Leh) sungguh baik hati. Selalunya bila musim timun cina masak atau jagung telah mengeluar hasil maka kekeyanganlah saya makan di dataran tersebut.
Saya juga pernah membantu mereka menanam padi di bendang. Biasalah kanak-kanak, bila ‘time’ makan yang paling seronok. Makan berselera di sawah padi walaupun berlaukkan ikan goreng! Dan saya juga pernah makan belalang goreng!
Peristiwa yang masih segar dalam ingatan saya ialah arwah Abang Lehlah yang membonceng saya dan anaknya (Rosedah) menaiki basikal tua (orang Kelantan panggil basikal unta) dari rumah kami di Palekbang ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Kg. Laut (SRJK(I) Kg. Laut).
Setelah kami sudah agak besar maka kami berjalan kaki ke sekolah. Jalan keretapilah yang menjadi pilihan laluan kami. Pada masa itu Stesen Keretapi Palekbang masih wujud. Sekiranya kami berjalan di jalanraya, kasut mudah menjadi merah kerana jalan yang bertanah merah.
Pergi balik ke sekolah mungkin 5km. Tetapi kami seronok. Berjalan di kala tengahari dan pulang ke rumah lewat petang. Kami berkongsi sekolah, waktu pagi digunakan oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Kg. Laut manakala petang oleh SRJK(I) Kg. Laut.
Aku pernah mewakili SRJK(I) Kg. Laut di pertandingan pidato peringkat Daerah Tumpat semasa aku di darjah 4. Tak pasti kenapa aku dipilih sedangkan murid-murid darjah 5 dan 6 ramai juga. Dan yang paling aku ingat ialah aku pernah menyandang Ketua Pengawas @ Ketua Murid Sekolah (1976).
Terlanjur pula dengan cerita peribadi. Tak apa, mudah-mudahan menjadi tauladan kepada anak-anakku.
Arwah makcik adalah adik arwah ibu yang kedua. Arwah bonda pergi mengadap Ilahi pada tahun 1995, kemudian Mak Su dan semalam Makcik.
Didoakan ketiga-tiga mereka yang pernah menjadi guru al-Quran dirahmati Allah serta ditempatkan bersama-sama para solehin di Syurga Firdaus insyaAllah. Aamiin, aamiin, aamiin Ya Rabbal ‘Alamin…